Monday, 10 September 2012

ISU 1 : GURU MEROTAN MURID oleh MOHD AZRI BIN JAMILI

PENDAHULUAN

“ SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) masih menyiasat dari segenap aspek kes guru wanita sebuah sekolah menengah di Kuala Klawang, Jelebu yang didakwa merotan pelajarnya sehingga menyebabkan mangsa kini menerima rawatan di hospital kerana tidak dapat bergerak.”(Berita Harian,15 Julai 2008)

Isu kewajaran guru merotan murid telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Dengan timbulnya kes-kes seperti di atas, ada yang beranggapan bahawa hukuman rotan perlu dikaji semula terhadap mekanisme pelaksanaannya. . Timbul persoalan tentang kewajaran hukuman merotan yang pernah diberikan kuasanya kepada guru tetapi telah dilarang mulai tahun 1983 ketika Tan Sri Murad Mohamed Noor menjadi Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia. Beliau dengan tegasnya mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh hemah tetapi kesannya apa yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah pelajar semakin berani mempertikaikan tentang peraturan dan disiplin sekolah. Pelbagai isu negatif  yang melibatkan perlakuan negatif pelajar terhadap guru antaranya pelajar mencekik seorang guru perempuan di Pulau Pinang, isu pelajar tumbuk guru di Sabah, isu kereta guru dirosakkan pelajar di Terengganu dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, guru dalam dilema samada ingin menggunakan hukuman rotan atau tidak di sekolah.



HUKUMAN ROTAN DITENTANG?MENGAPA?
Denda atau hukuman yang melibatkan jasmani seperti merotan, menengking dan memukul merupakan amalan biasa di sekolah-sekolah sama ada di negara ini mahupun di luar negara. Laporan oleh Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk Keganasan Terhadap Kanak-Kanak berpendapat, amalan itu hanya akan memberikan kesan negatif kepada emosi serta pelajaran mereka. Laporan tersebut menyebut, hukuman dalam bentuk fizikal sebenarnya tidak memberi kesan positif kepada pelajar, malah lebih teruk lagi apabila mereka secara tidak langsung mula beranggapan bahawa keganasan boleh diterima pakai ketika berhadapan dengan masalah.

Hanya sedikit nilai positif yang diperoleh oleh pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal di sekolah. Sebaliknya, apa yang lebih merisaukan pelajar berkenaan hilang matlamat dalam akademik dan kurang bermotivasi untuk berjaya. Laporan tersebut dijalankan dalam tempoh lima tahun menerusi lawatan dan pemantauan intensif daripada sembilan bahagian, termasuk kerajaan, orang awam dan kanak-kanak. Di samping lawatan dan pemantauan, borang kaji selidik turut diedarkan kepada 133 kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Laporan yang dikeluarkan pada Oktober 2006 mendedahkan skop yang mengejutkan ke atas keganasan terhadap kanak-kanak, keluarga, komuniti terhampir mahupun komuniti yang lebih meluas. Kebanyakan kanak-kanak mempunyai pengalaman merasai hukuman fizikal oleh individu yang sepatutnya melindungi mereka. Dalam laporan yang sama, sekolah turut direkodkan sebagai kawasan hitam kepada pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal mahupun mereka yang pernah merasai pengalaman dibuli. Laporan tersebut turut memberitahu, kanak-kanak yang diberi hukuman jasmani di sekolah mempunyai nilai moral yang lebih rendah dan cepat menjadi tertekan serta bersikap agresif. Ada kalanya kesalahan kecil seperti tidak melakukan kerja rumah turut berhadapan dengan hukuman tersebut.
UNICEF percaya bahawa hukuman fizikal ini perlu dihapuskan kerana ia bersifat penganiayaan dan tidak berkesan dalam mendidik pelajar menjadi lebih baik dan berdisiplin. Untuk mengukuhkan lagi kajian tersebut, Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak turut mengharamkan cara hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan tanpa mengira apa jua keadaan sekalipun.

Pada tahun 1983, bekas Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia.Tan Sri Murad Mohamed Noor mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh kasih sayang. Antara hujah beliau ialah beliau tidak mahu berlaku suasana pelajar takut kepada guru dan guru perlu menjadi kawan kepada pelajarnya. Selain itu, larangan merotan juga adalah untuk merapatkan hubungan guru dengan pelajar sehingga pelajar boleh membincangkan masalah peribadi dengan guru.


WAJAR ATAU TIDAK HUKUMAN ROTAN?

Dalam sistem pendidikan Islam, hukuman rotan atau pukul dibenarkan namun dengan syarat tidak terkeluar dari tujuan pencegahan sesuatu kemungkaran serta pembaikan akhlak, bukan kepada menurut kehendak hati atau membalas dendam. Abdullah Nasih Ulwan(1983) dalam kitabnya ‘Pendidikan Anak Dalam Islam’ menyebut bahawa syarat-syarat dibenarkan menggunakan hukuman pukul atau rotan adalah seperti berikut :
1)    Seseorang pendidik tidak boleh menggunakan hukuman pukul melainkan  setelah dicuba semua cara pengajaran dan pencegahan yang lain.
2)    Pendidik tidak boleh memukul dalam keadaan marah kerana dibimbangi pukulan itu akan mendatangkan bahaya kepada si anak.
3)    Hendaklah si pendidik menjauhi tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya ketika memukul, iaitu kepala, muka, dada, perut dan seumpamanya kerana di sana ada pesanan dari Rasulullah S.A.W  dalam sabdanya
“ Jangan memukul wajah!”
Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan bahawa memukul pelajar itu dibenarkan dengan dua perkara:
1. Selepas memperoleh keizinan dari ibubapa atau penjaganya.
2. Apabila dirasakan secara zhan (70% kemungkinan) bahawa ia dapat memberi pengajaran.
3. Kanak-kanak itu tidak terlalu kecil umurnya.

Apabila dirasakan bahawa tiada faedah atau pengajaran dengan memukul pelajar kecuali dengan satu pukulan yang kuat serta benar-benar menyakitkan, maka tidak diperboleh melakukannya. Hukuman dera yang dibenarkan dalam Islam adalah berdasarkan kemungkinan dapat memperbaiki kelakuan, lalu apabila ia dapat memberi mudharat maka hukuman dera itu ternafi (tidak boleh dijalankan).

Maksudnya jika seseorang pelajar itu dirasakan dari jenis kebal rotan kalau setakat dirotan sikit-sikit dan dia hanya akan serik kalau di pukul dengan benar-benar teruk (yang benar-benar menyakitkan), maka ketika itu tidak dibenarkan sama sekali memukulnya. Kerana ia akan membawa mudharat kepada pelajar itu. Ia bertentangan dengan tujuan syariat yang diturunkan untuk memperbaiki bukan memberi mudharat.

Bagi umat Islam, mereka sudah tentu pernah mendengar sabda Nabi S.A.W di dalam hadisnya yang bermaksud:
"Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur." (Hadis riwayat Abu Dawud)
Jika perlu merotan anak, guru dan ibu bapa boleh berbuat demikian selepas anak berumur 10 tahun. Mengapa pada usia 10 tahun? Ilmuwan Islam berpendapat anak yang berumur pra baligh iaitu sekitar 9 hingga 12 tahun boleh memahami kesan hukuman dikenakan. Anak kecil di bawah umur itu selalunya tidak dapat memahami jika didenda atas kesalahannya. Justeru, jika anak kecil yang didenda, dia mungkin mengulangi perbuatannya itu tanpa pengetahuan penjaganya. Amaran awal harus diberi iaitu jika peraturan tertentu dilanggar, anak boleh dirotan. Berikan juga peluang kedua sebelum mengambil tindakan merotan. Lebih penting ialah menasihati mereka secara berterusan di samping memantau perkembangan pelajaran, kesihatan dan pergaulan sosial mereka.

Rusil (1997) berkata, menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman, adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan kesalahan bagi membentuk disiplin dan keperibadian mereka. Ini kerana apabila seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran disiplin dapat diatasi.

Oleh itu, hukuman rotan yang dibenarkan Kementerian Pelajaran Malaysia, dilakukan secara adil ke atas seseorang murid yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh sekolah, dikenakan hukuman sedemikian atas dasar setelah nasihat, amaran dan denda yang dikenakan masih tidak merubah tingkah laku negatif murid tersebut; dilakukan oleh orang yang dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah, tidak menimbulkan sebarang kecacatan fizikal, dengan penuh rasa kepentingan menjaga keseimbangan sistem sekolah demi keselamatan murid-murid lain dan juga dilakukan oleh guru bukan mengikut emosi atau perasaan membalas dendam adalah dibolehkan.

Badan Kajian dan Penyelidikan di London menunjukkan sebahagian ibu bapa percaya hukuman berat adalah kaedah kawalan berkesan kepada pelajar. Mereka juga percaya tingkah laku kanak-kanak dan remaja semakin teruk sejak amalan merotan dihapuskan di bidang pendidikan. Pihak penyelidik menyatakan keputusan mengharamkan hukuman itu menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin di kalangan pelajar di negara itu. Jika England akan mengembalikan peranan rotan dan pembaris ke tempatnya, mengapa kita tidak mendahului mereka dalam hal ini.

Oleh itu, kementerian Pelajaran telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 iaitu kuasa guru merotan murid. Merujuk surat pekeliling tersebut, Kuasa merotan murid telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan sejak sekian lama. Kuasa merotan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan berasaskan peruntukan yang disediakan dalam PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957. Dalam PERATURAN 6 dinyatakan dengan jelas bahawa :
Peraturan 6 : Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu, tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu.
Kuasa yang diberikan pihak sekolah mestilah menurut Peraturan 5 iaitu :
(1) Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat :
Dengan syarat bahawa –
(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan
(b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.
(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan (1) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh pendaftar. Hukuman yang dikenakan hendaklah direkodkan dengan menyatakan jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan dan saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan.

CARA PENYELESAIAN
Isu disiplin dan pelajar ini semakin hari semakin serius dan hangat diperkatakan. Namun, sehingga kini masalah ini masih tiada jalan penyelesaiannya dan kadang kala menimbulkan rasa kecewa terutama di kalangan pendidik yang sering dipertanggungjawabkan ke atas masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar. Maka adalah wajar untuk kita sebagai bakal pendidik di masa hadapan , bertanggungjawab untuk sama-sama cuba memikirkan apakah jalan penyelesaian yang terbaik untuk menangani masalah ini.

Guru memainkan peranan dan tanggungjawab bukan sahaja setakat mengajar tetapi juga mendidik. Mereka membentuk sikap, nilai dan akhlak para pelajar melalui pembentukan disiplin yang baik. Omardin Ashaari (1996) dalam bukunya Pengurusan Sekolah ada menyatakan bahawa matlamat akhir guru adalah membentuk disiplin kendiri yang baik. beliau juga ada menyatakan peranan guru dalam melaksanakan disiplin adalah dengan mengawas disiplin dalam bilik darjah, disekitar sekolah dan dalam kegiatan luar sekolah.

Ordinan Pelajaran 1957 dan Pekeliling Ikhtisas yang diedarkan oleh Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan 1968 dijadikan landasan untuk membentuk tatacara disiplin di sekolah-sekolah diseluruh Malaysia. Namun begitu, dari kajian yang telah dilakukan oleh Jawatan kuasa Disiplin sekolah, didapati bahawa pihak sekolah mengambil tindakan yang berbeza-beza ke atas kes yang sama. Ini adalah kerana pentadbir sekolah diberi kuasa menggunakan budi bicara mengikut Buku Panduan Disiplin yang menimbangkan tindakan yang setimpal dan berdasarkan persekitaran persekolahan, latar belakang pelajar, kekerapan melakukan kesalahan dan alasan pelajar melakukan kesalahan tersebut.

Kuasa guru dalam melaksanakan undang-undang disiplin tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia telah termaktub dalam Ordinan tapi perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam Peraturan 4, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) iaitu :
1)    Keadilan hendaklah diamalkan
2)    Seseorang tidak boleh dihukum tanpa belaan dirinya.
3)    Setiap individu yang dituduh hendaklah diberi peluang dan hak untuk didengar.

Oleh itu, guru mestilah adil dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar dan pelajar juga perlu diberi peluang untuk mengemukakan alasan-alasan terhadap perlanggaran disiplin itu untuk membela diri mereka. Dendaan yang boleh diamalkan untuk mengatasi masalah disiplin terdiri daripada hukuman biasa dan berat. Hukuman biasa yang boleh dikenakan kepada pelajar yang didapati melakukan kesalahan kecil adalah seperti rotan, amaran, dan penahanan. Jikalau pelajar melakukan kesalahan yang serius dengan mengancam guru, merosakkan harta benda, penggantungan bagi tempoh tertentu dan pembuangan sekolah dikenakan ke atas diri mereka. Pada masa penggantungan pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan dan menggunakan kemudahan sekolah.
Prosedur yang telah ditetapkan oleh Ordinan Dalam Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 telah menyatakan bahawa hukuman dera yang hendak dijalankan perlu menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau bahagian punggung yang dilapik dengan pakaian. Dalam melaksanakan proses hukuman, untuk mengelakkan guru yang melaksanakan hukuman teraniaya , Peraturan 5 ada menyebut bahawa guru perlu merekod jenis hukuman, ditandatangani oleh Guru Besar dan disaksikan oleh seorang guru lain sebagai saksi. Oleh itu selagi guru yang melaksanakan hukuman mematuhi tatacara yang telah ditetapkan dalam Ordinan dan undang-undang sekolah maka guru berkenaan terselamat daripada segala tindakan yang diambil oleh pihak pelajar yang bersalah termasuk tindakan mahkamah.


KESIMPULAN
Walau apapun masalah disiplin yang timbul, pelajar perlu dikenakan hukuman atau denda baik ringan atau berat bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan. Pelaksanaan hukuman ini perlu kerana ia merupakan salah satu daripada kaedah atau cara pendidikan yang berkesan. Bagaimanapun sebelum pelaksanaan sesuatu hukuman, pihak ibu bapa hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tidak timbul sebarang masalah berbangkit selepas sesuatu tindakan dilakukan. Namun begitu pihak sekolah juga harus bertanggung jawab sepenuhnya terhadap tindakan yang dibuat. Ini bertujuan mempastikan sesuatu tindakan yang diambil adalah wajar dan berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan. Secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada timbulnya masalah guru mendera pelajar.

Jadi, jelaslah kepada kita di atas bahawa Islam tidak menyempitkan penggunaan rotan/sebatan sebagaimana akta yang ada sekarang ini sehingga guru-guru tidak dapat memberi adab dengan sewajarnya kepada para pelajar. Islam juga tidak memperluaskan penggunaan rotan sehingga guru boleh memukul sesuka hatinya dengan syarat tidak melanggar dasarnya iaitu memberi pengajaran dan menolak kemudaratan.


REFLEKSI

Pertamanya, saya mengucapkan syukur atas kurniaan-Nya yang membolehkan saya bersama rakan-rakan yang lain berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan ini. Terima kasih tidak terhingga kepada pensyarah, Pn Salina Mokhtar atas bimbingan yang diberikan. Pelbagai input atau manfaat yang berguna yang saya peroleh sepanjang menyiapkan tugasan ini.
Antaranya, saya dapat mengetahui isu-isu berkait keguruan yang berlaku di sekeliling kita. Dengan merujuk pelbagai sumber, saya mendapat gambaran bahawa tugas guru bukanlah semudah yang disangka. Guru juga berdepan dengan pelbagai isu samada yang berkait dirinya sendiri atau dengan murid dan sekolah.

Tugasan ini juga mengajak saya berfikirian secara analitik dengan mengemukakan justifikasi yang munasabah dan rasional terhadap isu yang saya ketengahkan. Memang benar, sebelum ini kita selesa dengan penulisan yang biasa, namun di sini, saya belajar untuk menulis dengan lebih akademik melalui rujukan yang diiktiraf dari laman-laman web rasmi.  Melalui pembacaan dari pelbagai sumber, saya dapat membuka pemikiran saya untuk menganalisis isu tersebut. Sebelum ini, saya mengatakan tidak setuju dengan isu tersebut, namun setelah pembacaan, saya lebih rasional dalam menghukum sesuatu perkara.

Pada mula saya menerima tugasan ini, saya agak gusar kerana tugasan ini mengkehendaki saya menganalisis isu secara akademik. Hal ini membimbangkan saya kerana saya tiada pengalaman dalam menganalisis isu. Namun, setelah berbincang dengan pensyarah, meminta tujuk dan panduan, dan juga bersama-sama rakan-rakan yang lain, saya dapat berjaya menyiapkan tugasan ini.

Selain itu, tugasan ini juga meminta saya dan rakan-rakan untuk membina sebuah laman blog ilmu, dan analisis isu tadi akan dimasukkan ke dalam blog tersebut. Ini juga menyukarkan saya kerana tiada pengalaman dalam membina blog. Namun, bersama rakan-rakan sekumpulan, kami membahagi tugas untuk menyiapkan blog terbut mengikut bidang kepakaran masing-masing. Secara tidak langsung, tugasan ini menerapakan kemahiran ICT kepada kami sebagai satu elemen penting terhadap ilmu keguruan masa kini.

Untuk akhirnya, saya amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu saya dan rakan-rakan menyiapkan tugasan projek Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Nasih Ulwan(1983).Pendidikan Anak-anak Dalam Islam. Pustaka Nasional. Singapura.
Mohd. Rashid Mohd. Saad(2005). Mengapa Rotan Tidak Berkesan. PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 : Kuasa Guru Merotan Murid
Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959
Tan Sri Murad Mohamed Nor(2007, Julai 29). Didiklah pelajar dengan hemah. Utusan Malaysia.
Omardin Ashaari (1996). Pengurusan Sekolah, Edisi 1. Siri Pendidikan dan Pengajian Utusan.
Rusil (1997). Dilema Guru : Disiplin atau Dera. Dewan Masyarakat.


ISU 2 : GURU STRESS oleh ANIS BINTI ZAKARIA


ULASAN ARTIKEL 

PENDAHULUAN

            Tekanan atau stress adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda seseorang akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah maka tindakbalas individu terbabit juga tidak terlalu besar dan begitu juga sebaliknya. Smither (1994), Kenyataan ini disokong oleh Schafer (1992), yang menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda dan fizikal seseorang dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri seseorang. Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaan tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif. Hal ini menunjukkan bahawa cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima. Sekiranya individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang datang dalam bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar. Sementara itu, menurut Levine dan Ursin (2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu perubahan fisiologi dan perlakuan yang berlaku terhadap mereka yang menghadapi tekanan. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa, tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan kerana seseorang itu akan menghadapi risiko untuk berubah perlakuannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti bercakap kasar, memulakan pertengkaran, terlibat secara fizikal dalam pergaduhan, penyalahgunaan dadah, terlibat dalam jenayah dan sebagainya yang membuktikan walau sekecil mana sekalipun tekanan tersebut sekiranya tidak diuruskan dengan betul mampu membawa malapetaka yang lebih dahsyat lagi kepada mereka yang terlibat. Namun semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal seseorang kerana ianya dapat membantu seseorang untuk menyerap tekanan dan dapat menerima tekanan tersebut secara positif.

            Daripada beberapa definisi yang diberikan di atas, maka boleh dikatakan tekanan terbukti mempunyai hubungan dengan faktor dalaman dan luaran seseorang. Faktor luaran ini bermaksud persekitaran fizikal seperti tugasan dan tanggungjawab di pejabat, tahap perhubungan dengan manusia lain, keadaan fizikal kediaman, tahap kebisingan, kesesakan jalanraya dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan seharian manusia. Faktor dalaman pula bermaksud faktor yang mempengaruhi seseorang di dalam menangani faktor-faktor luaran tadi seperti tahap kesihatan fizikal dan mental, emosi dan perasaan serta rehat yang mencukupi. Bagi mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang tinggi, kemungkinan untuk mereka menghadapi tekanan disebabkan perkara yang remeh-temeh adalah rendah dan cara mereka bertindakbalas juga adalah secara sederhana. Manakala mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang rendah mempunyai kemungkinan untuk mengalami tekanan dan bertindakbalas secara agresif walaupun atas sebab-sebab yang kecil akibat ketahanan mental dan fizikal yang lemah.

            Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Dengan pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar.Tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan. (Dr.Sapora Sipon, 2007). Peratusan kadar stress dalam kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan bahawa  guru berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak. Satu kajian telah dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo Sew Fun dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya bagi mengenalpasti punca sebenar dan jalan penyelesaian bagi masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai perkara yang dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas, kerenah murid, kurang motivasi dan sebagainya.

PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH

            Stress boleh berlaku kepada semua guru samada guru sekolah menengah mahupun rendah. Satu kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya dan Norliza Othman mengenai  punca sebenar berlakunya masalah stress dalam kalangan guru matematik di negeri Johor. Hasil kajian mendapati bahawa faktor yang paling  mempengaruhi stress adalah faktor masalah disiplin pelajar yang mencatatkan nilai min keseluruhan tertinggi iaitu 3.83. Kajian juga dijalankan oleh Azrul Hisham Abdul Manaf pada tahun 2009  menunjukkan bahawa guru tidak terlepas daripada perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadangkala menyakitkan hati. Antara contoh perlakuan pelajar yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran bermula, tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah dan bersikap biadap dengan guru. Perkara ini menyebabkan guru mengambil keputusan yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Walaupun tindakan ini melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang tidak stabil boleh menguasai kekuatan akal fikiran yang waras. Terdapat banyak contoh sebenarnya yang berkaitan dengan tindakan disiplin berdasarkan emosi yang dilakukan oleh guru yang berkait dengan masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah kejadian di mana 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak yang telah dihukum dengan cara berendam di dalam sebuah kolam yang kotor oleh warden asrama mereka disebabkan masalah disiplin (Utusan Malaysia, 28 Julai 2007). Setahun sebelum itu,seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Kelantan telah bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan sekolah kerana memakai seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ( Berita Harian, 20 Mei 2006 ).
           
            Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang bermasalah tetapi juga berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang memberikan harapan yang amat tinggi kepada para guru untuk menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kajian yang telah dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83% daripada guru telah mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa pelajar yang mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Kajian yang sama juga menyatakan bahawa kebanyakan ibu bapa akan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka kepada guru sekolah sambil mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Abu Bakar Hamzah dalam artikelnya yang dimuatkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 mengatakan bahawa ibu bapa kebiasaannya akan mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya seperti kemahiran dalam bidang vokasional. Akibat daripada harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru terpaksa menghabiskan banyak masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi.

            Selain itu, faktor bebanan kerja yang terlampau banyak juga menyebabkan guru-guru mengalami masalah stress. Menurut Esah Sulaiman (2003), guru merupakan pengurus pembelajaran yang bertanggungjawab untuk merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar kepada pelajar setiap hari. Ini menunjukkan tanggungjawab guru untuk menyediakan maklumat-maklumat untuk diajar tidak semudah yang disangkakan. Guru juga dibebankan dengan tugas-tugas lain seperti tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang dan menjalankan aktiviti sekolah, menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani kursus yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya. Perkara ini mungkin dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia merupakan bebanan yang amat tinggi kepada para guru kerana mereka terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja yang berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan pentadbiran sekaligus setiap hari. Tambahan pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu diselesaikan pada hari minggu sehingga menyebabkan guru tidak mendapat ruang waktu untuk berehat dan bersama keluarga. Ia menjadi menjadi satu masalah yang besar dan dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga wujudnya satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji bebanan tugas guru yang terlampau banyak. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don yang mempengerusikan jawatankuasa itu, beberapa cadangan sudah dikenalpasti bagi menangani masalah ini. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memberi maklumbalas terhadap aduan yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap bebanan tugas guru dalam satu sidang media yang diadakan pada tarikh 30 Mac 2010. Ini membuktikan bahawa banyak pihak yang menyedari akan bebanan tugas guru yang semakin mencabar.

            Bagi pekerja di setiap organisasi, etika kepimpinan seseorang pemimpin atasan memainkan peranan yang penting dalam memajukan organisasi tersebut. Perkara yang sama juga berlaku di sekolah apabila etika kepimpinan pengetua atau guru besar yang memainkan peranan yang sangat penting di dalam kemajuan dan pembangunan sekolah serta sumber manusianya. Guru sememangnya bergantung harap kepada guru besar untuk memastikan kelancaran pentadbiran di sekolah di samping menjaga kenajiakn mereka sebaik-baiknya. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, guru akan mengalami tekanan kerana persekitaran tempat kerja yang tidak membantu mereka untuk menjadi lebih produktif di dalam perkhidmatan. Hal ini kerana, adakalanya dalam melaksanakan sesuatu program di sekolah, terdapat corak pentadbiran dan tindakan pengetua yang kurang disenangi di sekolah. Malahan, ada juga program yang diatur bukanlah untuk kepentingan sekolah atau pelajar sebaliknya untuk kepentingan peribadi pengetua semata-mata. Keputusan-keputusan tentang peraturan dan dasar sekolah yang tidak adil dan kerap berubah juga akan membangkitkan ketidakpuasan hati guru. (Hamedah binti Wok Awang, 2004). Selain itu, ada juga pengetua yang menyalahgunakan peruntukan sekolah untuk kegunaan peribadi seperti hanya menumpukan usaha membesar dan mencantikkan bilik guru besar sahaja walaupun peruntukan tersebut sebenarnya harus digunakan untuk pembangunan fizikal sekolah serta kebajikan kakitangan dan pelajar. Isu ini telah dilaporkan oleh BERNAMA pada 17 Februari 2000, apabila Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan segera terhadap pengetua yang menyalahgunakan kuasa mereka termasuk yang terlibat dalam rasuah. Menurut mantan Menteri Pelajaran Malaysia, hal ini kerana terdapat beberapa kes yang diterima oleh pihak kementerian setiap tahun yang menyebabkan tindakan tegas perlu diambil secara serta merta. Hal ini secara langsung akan mengundang tekanan emosi terhadap guru kerana mereka akan berasa kurang senang dengan keputusan-keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira kebajikan perkhidmatan mereka. Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya akan menghakis kepercayaan guru terhadap kredibiliti dan ketelusan pengetua terbabit. Akhirnya perasaan hormat guru akan hilang dan mereka akan kehilangan motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

IMPLIKASI HUJAH-HUJAH

            Punca-punca seperti yang dinyatakan di atas akan membawa kepada tekanan terhada guru dan menyebabkan mereka mengambil jalan-jalan tertentu untuk menyelesaikannya. Guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan tekanan yang melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan etika pengurusan.

            Ponteng kerja adalah perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan ( Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, 2011 ). Perkara ini dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar Berita Harian bertarikh 12 Disember 2009 iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja di mana ada sesetengahnya yang tidak hadir ke tempat kerja selama tiga bulan. Satu laporan akhbar daripada Berita Harian bertarikh 27 Mac 2008 menyebutkan isu seorang guru di Perak yang tidak menghadirkan diri ke sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa alasan yang kukuh. Akibat dari perlakuan tersebut, pihak Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan disipilin yang tegas terhadap guru terbabit dan mungkin akan memecat beliau dari perkhidmatan perguruan. Hal ini disokong melalui pernyataan yang dibuat oleh Ho (1997) bahawa guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses pembelajaran terganggu untuk satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan segera seperti kegagalan menghabiskan sukatan pelajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti ko kurikulum di sekolah. Selain itu, rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan baru perlu disusun semula. Akhirnya, pelajar-pelajar akan mendapat impak yang sangat negatif apabila mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya apabila melibatkan peperiksaan-peperiksaan umum seperti UPSR, PMR dan SPM kesan dari proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak lancar.

            Selain daripada ponteng kerja, guru-guru juga akan cenderung untuk melakukan tindakan yang lebih besar iaitu berhenti kerja kerana tidak lagi mampu untuk bertahan dalam kerjaya ini. Tekanan-tekanan yang datang dari bebanan tugas yang melampau, etika kepimpinan pihak atasan sekolah dan tahap disiplin pelajar yang rendah merupakan faktor utama mengapa guru berniat meninggalkan kerjaya utama mereka. (Azrul Hisham Abdul Manaf, 2009). Isu ini turut disentuh oleh satu kajian kes yang telah dijalankan oleh Erkultu dan Chafra (2006) yang menyebut bahawa tekanan yang terlampau tinggi boleh mengakibatkan pekerja berfikir untuk meletakkan jawatan. Justeru, tidak hairanlah para guru yang sememangnya berhadapan dengan bebanan kerja yang tinggi akan berniat untuk menarik diri daripada jawatan ini. Kajian juga telah dijalankan oleh Jesus (2000), beliau mendapati 50 peratus daripada guru yang menjawab borang soal selidik mengakui bahawa mereka mahu mencari kerja lain akibat tekanan yang berlebihan di sekolah. Pada pandangan saya, adalah menjadi satu kerugian yang sangat besar sekiranya kebanyakan guru yang menghadapi masalah tekanan ini meneruskan niat untuk meletakkan jawatan kerana ianya akan mengganggu keseluruhan proses pendidikan di sekolah. Selain itu, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang besar dan menghabiskan masa yang panjang untuk memberi latihan kepada guru-guru baru bagi menggantikan kekosongan tersebut.

            Pelbagai langkah yang telah diambil bagi menangani masalah stress dalam kalangan guru yang semakin parah. Antaranya ialah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan-golongan guru di seluruh Negara. Menurut pengarah urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd Rozaimi Che Kamaruddinata, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stress semasa bertugas. Program ini telah berjaya dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh Selangor dengan melibatkan 135 orang guru dan kakitangan sekolah tersebut. Program ini disokong penuh oleh pengetua sekolah tersebut, Siti Endon Mohamad Dahlan yang berpendapat bahawa program itu banyak memberi kesedaran kepada guru dalam menangani masalah stress di tempat kerja.

            Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja. Memetik ucapan presiden NUTP, Hashim bin Adnan, beliau mengatakan bahawa pada hari ini, kita dapat melihat bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan sekolah menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini .Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-masalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan mengganggu pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan menjadi semakin serius apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam peperiksaan utama dan seterusnya negara mengalami kerugian besar terhadap penghasilan sumber manusia.

CADANGAN DAN RUMUSAN

Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi mudarat kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik mestilah sentiasa sedar akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka. Oleh yang demikian, guru mestilah memastikan diri mereka terlepas dari masalah stress yang memudaratkan ini.

Pemeriksaan kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru mestilah berusaha menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan yang amat mendalam kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami masalah kesihatan akan lebih cenderung mengalami masalah stress di sekolah sekaligus memberi mudarat kepada profesion secara umumnya dan murid secara khususnya. Guru juga perlu meningkatkan perbincangan dan bersosial dengan rakan-rakan sejawatan sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan tugas di sekolah. Hal ini mungkin dapat menghilangkan sedikit tekanan yang dihadapi oleh guru. Sekiranya masalah-masalah yang dialami disimpan bersendirian, ia akan menyebabkan guru lebih mudah menghadapi tekanan di tempat kerja. Bagi pihak ibu bapa dan pengurusan sekolah, mereka tidak sepatutnya meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada guru-guru di sekolah. Hal ini kerana, tugas mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa dibantu oleh guru di sekolah. Adalah menjadi satu kesilapan besar sekiranya tugas mendidik anak-anak sekadar diletakkan di bawah tanggungjawab guru dan hal ini secara tidak langsung memberikan tekanan hebat kepada para guru di sekolah.

Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang cukup mencabar. Banyak pengorbananyang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk memberi yang terbaik kepada para pelajar. Sesuatu yang positif perlu dilakukan segera oleh pihak atasan sekolah dan juga guru bagi mengelakkan punca-punca tekanan ini membawa kesan yang lebih teruk sekiranya dibiarkan berterusan. Boleh dikatakan tekanan dapat dikawal dengan baik oleh guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan tekanan tersebut. Pengurusantekanan amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam dunia perguruan yang mendatang.

Perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya seorang guru lebih sukar ataupun complicated. Sekiranya guru tidak mampu mengawal diri dan tekanan mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka bukan sahaja akan berakhir lebih awal malahan dikenakan tindakan-tindakan disiplin yang keras pula atas segala kesalahan yang dilakukan. Perubahan demi perubahan yang berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan pada hari ini pula ternyata menyebabkan guru juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu untuk membuat perubahan secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai mereka dan akhirnya membawa kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah amnya dan di Malaysia khasnya.

            Akhirnya, sokongan yang berterusan daripada pihak pengetua sehinggalah kepada kakitangan pentadbiran amat penting bagi menjamin persekitaran tempat kerja yang harmoni dan aman untuk semua pihak. Konflik yang sedang berlaku akan berterusan tanpa noktah sekiranya masih tiada ruang untuk bekerjasama dibuka seluas-luasnya untuk kedua-dua belah pihak iaitu pentadbiran dan akademik. Keprihatinan terhadap beban tugas guru perlu ditingkatkan oleh segenap lapisan masyarakat demi memastikan kelangsungan sistem pendidikan di Malaysia seterusnya usaha melahirkan generasi pewaris negara berterusan dan tidak terhenti.

REFLEKSI


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi akhirnya tugasan ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung terutamanya pensyarah, Puan Salina binti Mokhtar.

Pada mulanya, tugasan ini dilihat sebagai satu tugasan yang sangat mencabar buat saya. Saya ditugaskan untuk menganalisis satu artikel dan membina satu laman blog untuk memuatkan artikel yang dihasilkan. Tugasan ini sangat mencabar kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan blog, apatah lagi blog yang bersifat ilmiah seperti ini. Namun Alhamdulillah, tugasan berjaya disiapkan sepenuhnya. Kami berganding bahu mempelajari cara-cara membuat blog dengan menggunakan aplikasi atas talian yang sangat banyak di laman sesawang. Kami bersama-sama meneroka maklumat-maklumat dan tutorial yang disediakan dan akhirnya tugasan tersebut berjaya dijalankan. Kami juga meminta bantuan rakan-rakan yang mahir dalam bidang ini untuk mengajar kami cara menghasilkan sebuah laman blog yang menarik dan berkualiti.
Selain daripada itu, saya juga menghadapi masalah apabila berlaku kekangan masa dalam usaha menyiapkan tugasan ini. Tambahan pula, cuti hari raya yang diperuntukkan agak padat dengan jadual-jadual lain menyebabkan saya tergesa-gesa menyiapkan tugasan ini. Namun, berkat sokongan dan dorongan rakan-rakan sekumpulan, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya juga berpuas hati kerana berjaya menghasilkan satu penulisan artikel yang pada hemat saya sebuah artikel yang baik untuk menjadi rujukan semua pembaca.
Pelbagai kemahiran baru yang diperolehi dalam tugasan ini. Antaranya ialah kemahiran menggunakan ICT sebagai medium menyampaikan maklumat kepada seluruh masyarakat. Selain itu, kemahiran yang saya perolehi ialah kemahiran menganalisis sesuatu isu menggunakan bukti-bukti kukuh bagi memantapkan hujah-hujah yang dilontarkan atau lebih dikenali sebagai penulisan ilmiah. Kemahiran ini juga sangat penting buat saya dalam usaha untuk menyelesaikan penulisan kajian tindakan pada semester ini.
Secara keseluruhannya, tugasan ini memberi saya semangat baru untuk lebih giat menulis artikel ilmiah setelah memasuki alam kerjaya kelak. Seterusnya, menggunakan medium ICT sebagai wadah untuk menyebarkan idea dan penulisan tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga membantu memajukan diri sendiri dalam bidang yang menjadi pilihan ini. Penulisan artikel ilmiah juga merupakan satu cara terbaik bagi seorang guru meluahkan masalah-masalah dan mengetengahkan isu-isu pendidikan kepada masyarakat umum.

Sekian, terima kasih.

BIBLIOGRAFI



Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin. (2011). Pengendalian Disiplin Remaja di Sekolah dan di Rumah. Penerbitan Multimedia. Kuala Lumpur

Azizi Yahya & Norliza Othman (2010), Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah Di Empat Buah Negeri Di Malaysia. Asia Pacific Journal of Educators and Education. Kuala Lumpur

Azrul Hisham Abdul Manaf (2009), Faktor-Faktor Tekanan Dan Kesannya Kepada Guru Sekolah Menengah Kebangsaan : Satu Kajian Di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. UPM. Kuala Lumpur

Chek Mat (2008). Ujian Psikologi & Pengurusan. Unipress Printer Sdn Bhd. 2008

Dr  Sapura Sipon (2007). Tekanan Kerja Di Kalangan Guru-Guru Di Sebuah Sekolah Menengah Kerajaan Dan Sebuah Sekolah Menengah Swasta. Kertas Projek Bacelor Sains: Serdang. Universiti Putra Malaysia.

Erkutlu, H.V. & Chafra, J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases And Job Stress Of Subordinates : Example From Boutique Hotels. Journal Management
Research News, London

Esah Sulaiman (2003), Modul Pengajaran : Asas Pedagogi. Skudai: Jabatan Asas

Fontan, D. (1989), Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd

Hamedah Wok Awang. (2004), Cerita-Cerita Motivasi Untuk Guru. PTS Millenia Sdn Bhd. Kuala Lumpur

Ho, J. (1997), Corporate Wellness Programmes in Singapore: Effect on Stress,
Ibrahim Ahmad Bajunid (1995). Tinjauan Tahap Tekanan dan Punca Stress di Kalangan Guru Sekolah Sabak Bernam. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda.

Jaafar Muhammad, (2003), Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur. Leeds Publications

Mohd Abdillah Royo & Woo Sew Fun (2010), Faktor-Faktor yang Mendorong Tekanan Kerja ( Stress ) di Kalangan Guru-Guru SJK(C) : Satu Kajian. Universiti Teknologi Mara. Selangor

Smither, R. (1994). Stress and teachers: Old wine in new bottle. Urban Education,London

Smither, R.D. (1994), The Physchology of Work And Human Performance (2nd ed.). Journal of Managerial Psychology

Guru Alami Tekanan Mental & Emosi, Kata NUTP. (18 Ogos 2005). BERNAMA

Kementerian Akui Ada Masalah Kekurangan Guru. (17 Disember 2003). BERNAMA

Tip Mengatasi Stres. (25 Jun 2006). Utusan Malaysia

Guru Di Bandar Lebih Tertekan. (18 Disember 1997).Utusan Malaysia

Tuala Wanita: 200 Pelajar Direndam Dalam Kolam Kotor. (28 Julai 2007). Utusan
Malaysia.

Ibu Bapa Punca Guru Tertekan. (23 Februari 2007). Berita Harian

Ramai Guru Berpenyakit Akibat Stres .( 20 Mei 2006), Utusan Malaysia

Lima Peratus Penjawat Awam Ponteng Kerja. (21 April 2009). Berita Harian

Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja. (12 Mei 2008). Berita Harian

Guru Ponteng : Tindakan Tegas akan Diambil. (12 Mei 2008). Berita Harian

Pengetua Sekolah Yang Langgar Arahan Akan Dikenakan Tindakan Disiplin. (1 Jun
1997). BERNAMA

Pengetua Salahguna Kuasa Akan Dikenakan Tindakan. (4 Mac 2000). BERNAMA
           

ISU 3 : GURU INOVATIF MELONJAKKAN PRESTASI NEGARA oleh SHAHIRA BT RAMLI

1.       1.1       PENGENALAN

Setiap tahun, sambutan hari guru disambut dengan tema tertentu yang mengandungi makna tersendiri.  “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai tema Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 bagi tahun 2012.  Pemilihan tema ini bersesuaian dengan era kini yang bukan sahaja memerlukan guru berpengetahuan bahkan juga memiliki ciri kreatif dan inovatif untuk menghasilkan  proses pengajaran dan pembelajaran efektif seterusnya melahirkan produk yang berkualiti.

Transformasi Pendidikan Negara yang berlaku memerlukan perubahan dari aspek peningkatan profesionalisme guru.  Bidang pendidikan mesti melalui pembaharuan agar bidang ini tidak ketinggalan jauh oleh bidang-bidang lain seperti bidang ekonomi, reka bentuk, teknologi, kejuruteraan dan lain-lain.  Tambahan pula bidang ini merupakan satu sistem dinamik yang memerlukan perubahan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan aspirasi sesebuah negara.

Kamus Dewan edisi keempat mendefiniskan perkataan “inovasi” sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru. Inovasi juga merupakan perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan, memulakan dan sebagainya sesuatu yang baru.    Istilah yang berkait rapat dengan “inovasi” ialah “inovatif” yang bererti bersifat inovasi.  Inovatif bermaksud suatu tindakan bagi mengada atau memulakan sesuatu yang baru.  (Zainal bin Haji Bujang, 2008)

Perkataan “kualiti” pula ditakrifkan sebagai darjah kecemerlangan biasanya yang tinggi dan mutu manakala berkualiti adalah mempunyai kualiti atau bermutu.  Toh, 2005 (dalam Noraini Idris, Shuki Osman, 2009), menyatakan bahawa kualiti guru merujuk kepada pengethaun, kemahiran dan sikap.

1.2 PERKEMBANGAN HUJAH

Dalam teks ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan, dinyatakan :

“Daya kreativiti dan inovasi terletak kepada faktor sumber manusia negara iaitu rakyat Malaysia.  Setiap rakyat Malaysia seharusnya menerima inovasi sebagai sebahagian daripada cara hidup.  Inovasi bukan hak milik para saintis, penyelidik, teknologis dan akademia semata-mata.  Sebaliknya, melibatkan kelompok masyarakat Malaysia.” 

Dalam ucapan perasmian tersebut turut dinyatakan bahawa inovasi telah dijadikan sebagai mauduk utama dalam usaha kerajaan mentransformasikan negara dari tahap ekonomi sederhana kepada yang berpendapatan tinggi.  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pernah berkata : “Menjadikan inovasi supaya diterima oleh masyarakat dahulu adalah penting sebelum setiap ahli masyarakat menerimanya sebagai sebahagian daripada kehidupan sehariannya.  Menjadikan inovasi sebagai budaya kita akan membolehkan Malaysia mencapai tahap transformasi serta pembangunan yang lebih tinggi dan maju di masa hadapan.”
           
Yusniza Mohd Yusof, dalam artikel “Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat Berfikir” memberi definisi inovasi sebagai perubahan cara berfikir bagi mendapatkan hasil atau produktiviti lebih baik dari semasa ke semasa. Ia bukan hanya berkaitan sains dan teknologi semata-mata.   Menurut beliau, inovasi juga bukan hanya untuk golongan profesional tetapi termasuk masyarakat pelbagai taraf sosial tidak kira di bandar atau pedalaman. Kesedaran mengenai kepentingan inovasi perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat, seiring kemajuan negara dan perubahan global. 

Berdasarkan artikel ini terdapat beberapa ciri guru berinovasi yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.  Antara ciri guru berinovasi adalah mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.  Hal ini sejajar dengan pandangan Noriati A. Rashid dalam Guru dan Cabaran Semasa iaitu guru-guru perlu memiliki keupayaan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang mampu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam teks khutbah jumaat 11 Mei 2012, menyatakan bahawa guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik.

Di samping itu, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.  Menurut Esah Sulaiman, 2003, guru perlu cekap mengubahsuai pengajaran, prihatin terhadap keperluan pelajar dan jangan terlalu terikat dengan sesuatu keadaan atau bahan tertentu.

Noriati A. Rashid, 2009 menyatakan bahawa guru-guru tidak sepatutnya meneruskan pengajarannya sedangkan ada dalam kalangan muridnya yang didapati sudah hilang tumpuan.  Halizah Hamzah, 2009, pula berpadangan bahawa guru seharusnya melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif dan yang dapat merangsang minat murid.  Kepelbagaian aktivti bukan sekadar berupaya menarik minat murid bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di mana murid tertunggu-tunggu untuk melihat aktiviti berikutnya.

Sememangnya terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan oleh guru bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran Antara kepelbagaian aktiviti yang dicadangkan oleh Noriati A. Rashid dalam Murid dan Alam Belajar adalah melalui pelbagai bermain sebagai usaha menarik minat murid menguasai sesuatu pengetahuan tanpa disedari oleh murid bahawa mereka sedang belajar.  Bagi murid-murid yang mempunyai gaya berfikir yang tinggi, guru boleh menyediakan aktiviti analisis atau penyelesaian masalah dengan menggunakan borang grafik manakala bagi murid yang kurang berminat untuk belajar.  Guru turut boleh mendorong pembelajaran pembelajaran aktif dengan menggunakan audio visual yang menarik selain daripada menggunakan banyak peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) atau menggalakkan murid menghasilkan sendiri bahan pembelajaran mereka.

Satu daripada tanggungjawab guru kepada murid adalah menjadi kreatif dan inovatif.  Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2010, mengemukakan bahawa :

“Guru yang kreatif dan inovatif dapat mencetuskan idea baharu dan dapat menterjemahkan kehendak dan matlamat kurikulum dengan menggunakan kaedah, pendekatan dan strategi pengajaran serta pembelajaran yang kreatif dan inovatif.”

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia, 1994, memberi takrifan bahawa inovasi merupakan sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimaklumkan (seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain).  Inovasi atau pengenalam idea-idea baru dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi baru, perubahan-perubahan  prosedur yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos, dan perubahan ini meningkatkan penghasilan kerja.

Menurut INTAN, antara ciri-ciri orang yang mempunyai sifat kreativiti dan inovasi adalah sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.  Orang yang kreatif dan inovatif juga berani untuk untuk mencuba teknik dan kaedah baru bertujuan memudahkan sesuatu kerja selain suka bermain dengan idea dan berani mencuba.  Sebaliknya, sifat orang yang tidak mempunyai kreativiti dan inovasi antaranya adalah tidak gemar kepada perubahan dan pembaharuan.  Golongan ini juga tidak berminat untuk mencuba dan takut kepada kegagalan di samping bersikap mudah putus asa.  Ciri negatif lain yang dimiliki oleh mereka adalah memandang remeh usaha-usaha pembaharuan orang lain serta berperasaan hasad dan dengki.

Tan Sri Muhyiddin juga menyebutkan bahawa, "Keutamaan guru berinovasi adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.”  Guru berinovasi mementingkan aplikasi ilmu oleh para murid sebagaimana yang dikemukakan oleh Haliya Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel dalam Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku bahawa mutu pendidikan dapat dibuktikan melalui kefahaman murid yang mendalam terhadap topik yang dikaji serta dapat menggunakan pilihan tersebut dalam situasi-situasi yang memerlukan.

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengutarakan bahawa guru berinovasi antara lainnya mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir.  Penyediaan persekitaran pembelajaran yang positif sememangnya merupakan suatu aspek yang amat penting.  Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009, menyatakan bahawa guru perlu menyediakan suasana dan persekitaran yang kondusif terhadap pembelajaran semasa mengajar.  Persekitaran pembelajaran dalam konteks pendidikan merujuk kepada iklim dan budaya bilik darjah secara menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek tertentu iaitu pola komunikasi, reka bentuk, pelan lantai dan susun atur ruang fizikal, dan kebolehan guru mengurus murid-murid dalam bilik darjah.  (Choong Lean Keow, 2009). 

Mook Soon Sang, 2011, pula mengemukakan ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif yang merangkumi hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya serta kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan.  Menurut beliau perasaan kekitaan antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan kewujudan satu keadaan yang setiap murid melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan juga antara ciri bilik darjah yang baik.

Dari aspek iklim persekolahan yang kondusif, Mook Soon Sang, 2009 menyebutkan iklim persekolahan yang kondusif adalah iklim persekolahan yang terbuka dan menggalakkan murid bebas berinteraksi antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam aktiviti sekolah.  Seorang guru yang baik berupaya untuk mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar.

Dalam artikel berkenaan, Timabalan Perdana Menteri  juga berpandangan bahawa guru berinovasi juga termasuklah guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.  Mahmud Khalifah dan Usamah Khutub mentafsirkan penilaian sebagai proses metodologi yang tersusun rapi untuk mengumpulkan beberapa keterangan dan mentafsirkan bukti-bukti guna melahirkan keputusan yang berhubungan dengan para murid atau program pendidikan.  Proses ini juga adalah sandaran informasi yang digunakan pakai bagi tujuan mengetahui keberhasilan dan kekurangan dalam meraih tujuan-tujuan umum yang terkandung oleh sistem pendidikan.

Menurut kamus dewan edisi keempat holistik membawa makna bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai satu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja.  Berikutan pembaharuan dari segi pentaksiran Azmi Mohamed, berpandangan pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang bermula bagi murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata, selari dengan tujuan pendidikan seperti yang terdapat dalam Undang-Undang Malaysia iaitu Pendidikan 1995 iaitu untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran, dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saning tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.

Satu alternatif telah dijalankan menerusi kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovatif di peringkat sekolah rendah dan menengah iaitu program i-Think.  Ia juga untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid yang berinovatif.  i-Think adalah pendekatan yang realistik dan praktikal untuk memupuk proses pemikiran dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah di kalangan guru dan pelajar sama-sama melalui penggunaan peta pemikiran yang dibangunkan oleh Dr David Hyerle.



1.3 IMPLIKASI HUJAH

Hujah-hujah yang diutarakan menunjukkan guru berinovasi sangat diperlukan selari dengan kemajuan dan perkembangan semasa.  Kriteria guru berinovasi sebagai satu daripada ciri guru berkualiti berupaya meningkatkan kemahiran seseorang guru.  Hal ini selari dengan pandangan Mok Soon Sang, 2011, yang menyebut tentang satu daripada peranan guru iaitu sebagai inovator.  Menurut beliau, sebagai inovator guru seharusnya memperkenalkan idea, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik mengajar yang baru daam bilik darjah.  Peranan ini penting bagi guru untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Inovasi dari aspek pengurusan bilik darjah yang kondusif menurut Noriati A. Rashid, 2010, membawa kepada perubahan dari aspek pendekatan berpusatkan murid, kemudahan pengajaran dan pembelajaran dan landskap maklumat.  Perubahan daripada pengajaran tradisional yang lebih berpusatkan guru perlu diubah agar bersesuaian dengan kehendak semasa.  Pengajaran yang berpusatkan murid merupakan suatu pendekatan terkini yang dapat menggalakkan murid untuk berfikir pada aras tinggi.  Antara kaedah pembelajaran yang boleh digunakan ialah inkuiri penemuan, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan main.

Dari segi pengajaran dan pembelajaran, kemudahan harus dipelbagaikan dan ditambah  bagi memenuhi kepelbagaian bakat dan kecerdasan murid di samping meningkatkan kebolehan murid untuk merancang, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri, mencipta dan berkarya.  Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang menitikberatkan kepelbagaian latar belakang dan sosiobudaya murid membolehkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid dikaitkan dengan pengalaman baharu yang hendak dibina.

Perubahan landskap maklumat sudah tentu mengalami perubahan dengan perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).  Hal ini meliputi kualiti pusat sumber yang menjadi pusat Literasi Maklumat di sekolah.  Guru perlu bertindak untuk memainkan peranan dalam mengurus pusat sumber dengan sehabis baik bagi membolehkan murid belajar untuk memperoleh kemahiran mengakses maklumat, membuat penelitian bahan, memahami bahan serta proses pemilihan dan memproses bahan.

Inovasi guru seterusnya membolehkan penilaian secara holistik dan menyeluruh ke atas murid.  Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan. (Azmi Mohamed, Utusan Malaysia – 5/11/2012).  Hal ini seterusnya mendorong kepada pembinaan modal insan yang bukan hanya mementing aspek intelek atau akademik semata-mata tetapi menyeluruh dalam segenap aspek.

Glenn (2001) menyatakan bahawa kualiti guru merupakan faktor penting dalam menentukan kualiti sekolah.  Guru yang bersifat inovatif sekali gus dapat membawa peningkatan kepada kualiti sesebuah sekolah.  Dr. Baharom Mohamad dalam Prosiding “Seminar Pembangunan Modal Insan 2009” menyatakan bahawa sistem persekolahan yang sentiasa menghadapi pelbagai perubahan dan pembaharuan,memerlukan peningkatan inovasi dan kreativiti dalam sistem persekolahan. Ini kerana ia merupakan institusi yang berkesan bagi merangsang dan mengembangkan potensi pelajar.  Hal ini secara jelas menunjukkan bahawa guru berinovasi mampu meningkatkan sistem persekolahan dan kualiti sesebuah sekolah.

Suatu yang tidak dapat dinafikan bahawa kesediaan para guru meningkatkan sifat inovatif dalam diri berupaya membantu sistem pendidikan negara mencapai tahap sistem pendidikan bertaraf dunia.  Walau bagaimanapun, pelaksanaan proses integrasi teknologi dan pendidikan dalam kalangan guru bukanlah suatu  perkara yang mudah.  Perubahan dalam aplikasi TMK yang meluas untuk meningkatkan tahap pembelajaran murid merupakan cabaran buat guru kerana fungsi teknologi hanyalah sebagai alat.  (Noraini Idris, 2009). Wujudnya faktor-faktor tertentu  yang menjadi halangan kepada pengintegrasian teknologi di sekolah seperti para guru yang menolak perubahan, masalah kewangan, masa yang terhad, kekurangan kemahiran serta kekurangan pekakasan dan perisian. 

Pembaharuan yang berlaku juga menjadikan peranan guru semakin mencabar.  Guru mesti mempunyai kesedaran tentang keperluan untuk berinteraksi dengan teknologi terkini supaya dapat membiasakan generasi kini dengan cara hidup canggih pada abad ke-21.  Antara kemahiran yang harus dimiliki oleh guru adalah dari segi penggunaan multimedia dalam pendidikan dan pemilihan maklumat mengikut kesesuaian tujuan pengajaran dan pembelajaran.  Penguasaan kemahiran selari dengan perkembangan semasa adalah sesuatu yang amat penting bagi peningkatan profesionalisme keguruan dan kualiti keguruan seseorang guru.

Mahmud Khalifah dan Usamah Qhutub dalam “Menjadi Guru Yang Dirindu”, satu daripada sebab tekanan jiwa yang berhubungan dengan peribadi guru adalah hanya menggunakan satu kaedah dalam pengajaran; tidak adanya pembaharuan mahupun inovasi sehingga menjadikan proses belajar dan mengajar hanya rutin harian belaka.  Hal ini boleh menyebabkan guru berpandangan bahawa proses pendidikan merupakan
sesuatu yang tidak berkembang, bahkan mati.  Pandangan sebegini menjadikan guru gagal dalam meningkatkan kualiti diri sebagai seorang guru.  Tekanan yang dihadapi secara tidak langsung akan memberi kesan negatif terhadap kepada murid, sekolah dan masa depan pendidikan.



1.4 CADANGAN DAN RUMUSAN

Berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh, saya berpandangan bahawa seseorang guru berkualiti masa kini mesti mengikuti perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan perkembangan antarabangsa.  Maka, guru inovasi masa kini perlu berkemahiran tinggi dari aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) memandangkan pada abad ini, negara berdepan dengan cabaran globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan pengembangan TMK. 

Bagi melahirkan guru yang berinovasi, perkara paling utama yang mesti diutamakan adalah latihan kemahiran kepada bakal guru dan para guru dalam perkhidmatan.  Latihan kepada para guru praperkhidmatan bermula daripada latihan guru sama ada di Institut Pengajian Tinggi (IPTA) atau Institut Pendidikan Guru (IPG).  Pembentukan modal insan guru harus diberi keutamaan bagi untuk membolehkan pembentukan modal insan yang cemerlang.  Bertitik tolak daripada ini, maka perubahan dalam latihan perguruan yang selari dengan tuntutan perkembangan semasa merupakan suatu keperluan.

Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan pendidikan, Mok Soon Sang, 2011, mencadangkan agar guru harus sentiasa membaca buku ilmu pendidikan, mengikuti kursus peningkatan ilmu profesionalisme keguruan serta menghadiri seminar atau konvensyen pendidikan di dalam atau luar negeri.  Guru akan keluar daripada amalan pengajaran dan pembelajaran yang lapuk hanya apabila mereka didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran pedagogi terkini.  (Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2012).  Maka dalam hal ini, pelaksanaan program Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) yang dijalankan secara berkesan akan menyumbang ke arah pembentukan guru yang inovatif seperti yang diharapkan oleh sistem pendidikan kini.

Selaras dengan transformasi pendidikan yang mementingkan TMK, menurut Zahri Ramlan dalam Pendidik bil. 58, Mac 2009, para guru di Malaysia diberi pendedahan dengan kepelbagaian kursus pengkayaan dalam kemahiran dan kompentensi menggunakan peralatan TMK seperti kemahiran perkakasan dan perisian aplikasi.  Kursus-kursus kemahiran TMK yang dilaksanakan dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah sekiranya guru yang menerima kursus ini berjaya mengintegrasikan kursus yang diterima.

Di samping itu, amalan reflektif dan penyelidikan tindakan wajar menjadi amalan para guru dalam menyuburkan nilai-nilai inovasi dalam profesionalisme keguruan. Pendekatan guru sebagai penyelidik akan memberi ruang kepada guru untuk merancang sendiri inovasi seterusnya memerhati dan menilai sendiri tindakan yang dilaksanakan. (Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009).  Hal ini akan lebih mendatangkan keberhasilan terhadap perubahan sebarang bentuk amalan dalam bilik darjah kerana individu guru sendiri melalui pengalaman dalam melaksanakan perubahan tertentu.

Galakan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada para guru untuk melaksanakan inovasi merupakan sesuatu usaha dan sangat baik dan wajar diteruskan.  KPM telah memperkenalkan Pertandingan Inovasi pada peringkat  bahagian dan institusi bertujuan memupuk dan mencungkil kehebatan inovasi dalam kalangan warga kementerian.  Selain itu, KPM telah menjadikan elemen kreativiti dan inovasi sebagai satu daripada elemen yang terdapat dalam Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2020.

Perkongsian pintar antara pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pihak swasta yang bermula apabila sistem pendidikan negara terlibat secara langsung dalam usaha melahirkan dan membekal tenaga manusia yang mempunyai kemahiran dalam bidang TMK merupakan sesuatu yang sangat bermanfaat kepada bidang pendidikan.  Antara projek perkongsian pintar termasuklah program i-Think seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Schoolnet , GSB Technology Learning in School, Program Sekolah Angkat bersama Samsung Digital Classroom, K-Perak E-Learning Cluster No.1 (KPEC) dan Cyberkids Camp.
Selain itu, budaya kolaborasi dalam pendidikan juga adalah suatu usaha yang baik dalam mempertingkatkan amalan inovasi dalam kalangan guru.  Budaya ini boleh dijadikan amalan sama ada sesama guru dalam sekolah yang sama atau dalam program-program tertentu merangkumi peringkat daerah, kebangsaan bahkan antarabangsa.  Penyelidkan tindakan juga boleh dijalankan secara kolaborasi.  Pada era ini, terdapat juga kolaborasi guru dalam bentuk atas talian melalui pembinaan laman web tertentu seperti laman portal cikguNet dan portal pendidikan utusan.  Hal ini membolehkan para guru dan pelajar berbincang serta berkongsi ilmu dan kemahiran tanpa sempadan. 

Secara keseluruhannya, era globalisasi dunia dan transformasi pendidikan dalam negara memerlukan para guru sebagai agen penggerak untuk melaksanakan perubahan dalam kepelbagaian aspek pendidikan.  Peranan guru sebagai inovator penting dalam usaha melahirkan generasi memenuhi ciri-ciri modal insan holistik iaitu modal insan yang sejajar dengan perkembangan peringkat global dan memiliki peribadi unggul, menjunjung budaya bangsa dan negara.  Guru perlu sedar bahawa bidang pendidikan akan ketinggalan sekiranya tidak mengikut perkembangan arus perdana.

REFLEKSI



Sepanjang melalui proses menyelesaikan tugasan EDU 3108, saya telah memperoleh banyak pengalaman dan mendapat input-input baru berkaitan pendidikan serta isu keguruan.  Tugasan bagi subjek ini bukanlah sesuatu yang mudah dan agak mencabar buat saya.  Tambahan pula ini merupakan pengalaman pertama saya dalam mengulas artikel dan membina blog berunsurkan pendidikan secara kolaboratif bersama rakan-rakan lain.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang usaha saya menyelesaikan kerja kursus ini, saya bersyukur kerana dapat menyiapkan kerja kursus ini dalam tempoh yang ditetapkan.  Langkah pertama bagi pelaksanaan tugasan ini adalah pencarían isu yang bertepatan dengan guru dan keguruan.  Saya telah melayari laman-laman web tertentu, mencari, memahami dan memilih isu yang  tertentu.  Seterusnya saya telah berbincang dengan rakan-rakan dan merujuk kepada Puan Salina binti Mokhtar, pensyarah subjek ini bagi membincangkan kesesuaian isu yang dipilih dengan kehendak tugasan subjek.

Dari aspek pemerolehan maklumat, saya telah membuat rujukan bahan-bahan ilmiah seperti buku-buku yang berkaitan dan artikel daripada majalah serta akhbar atas talian.  Di samping itu saya melayari laman-laman web tertentu berkaitan pendidikan bagi meningkatkan pemahaman saya berkaitan guru berinovasi dan inovasi pendidikan yang berlaku pada hari ini. Saya turut membuat pembacaan berkaitan program-program dan pelan-pelan yang direncanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Melalui kerja kursus ini, saya dapat memperoleh pengalaman dan kemahiran untuk membaca secara dan berfikir secara kritikal.  Aspek ini saya peroleh melalui proses menganalisis bahan bacaan yakni artikel yang telah saya pilih dan kemudiaannya mencari bahan rujukan bagi proses mengulas perkara-perkara tertentu yang terdapat dalam artikel berkenaan.  Pembacaan secara kritikal memerlukan saya memahami konsep, istilah, logik dan sebagainya.  Manakala pemikiran kritis menuntut saya membuat banyak rujukan untuk penjanaan idea.

Bagi pembinaan blog laman ilmu, kerjasama sesama ahli kumpulan merupakan sesuatu yang sangat penting.  Pembinaan blog membolehkan saya da rakan-rakan mengaplikasikan kemahiran dari aspek TMK.  Selain itu, ianya secara tidak langsung dapat meningkatkan amalan kolaboratif sesama kami dalam membangunkan blog laman ilmu bagi memenuhi tugasan bagi subjek ini.  Hal ini menyedarkan saya bahawa perkongsian kemahiran melalui amalan kolaboratif sememangnya memberi manfaat dan meningkatkan kemahiran guru sekali gus memberi impak positif kepada profesionalisme keguruan.

Tugasan bagi subjek ini telah membuka hati saya untuk menjadi seorang yang lebih sensitif tentang profesión yang telah saya pilih iaitu profesión keguruan.  Isu-isu berkaitan pendidikan dan keguruan merupakan antara isu yang kerap diperkatakan.  Dalam hal ini, sebagai seorang bakal guru, saya tidak sepatutnya mengambil remeh tentang isu-isu ini memandangkan saya sendiri berada dalam bidang ini.

Pembinaan blog laman ilmu sewajarnya saya teruskan dan pengetahuan berkaitan kemahiran dalam bidang integrasi maklumat dan komunikasi perlu saya tingkatkan pada masa hadapan sebagai satu usaha meningkatkan kualiti diri sebagai seorang guru yang inovatif.  Análisis daripada artikel yang saya pilih mendorong saya supaya sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dari semasa ke semasa kerana setiap saat dunia ini mengalamai perubahan.

Harapan saya agar segala ilmu dan kemahiran yang saya peroleh sepanjang proses yang saya lalu bagi menyelesaikan tugasan ini tidak saya persia-siakan.  Ilmu hanya benar-benar bermanfaat sekiranya dijadikan amalan.


BIBLIOGRAFI


BUKU
Ahmad Sarji Abdul Hamid.  (1993).  Penerapan Nilai dan Budaya Kerja Cemerlang dalam Pentadbiran Awam Malaysia.  Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Choong Lean Keow.  (2009).  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel.  (2009).  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). (1994).  Citra Karya Falsafah, Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam.  Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Kamus Dewan.  (edisi keempat).  (2005).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Mok Soon Sang.  (Jun 2009).  Pedagogi Untuk Pengajaran & Pembelajaran.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang.  ( 2011).  Pengurusan Bilik Darjah & Tingkah Laku.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mahmud Khalifah, Usamah Khutub.  Menjadi Guru Yang Dirindu.  Bagaimana Menjadi Guru Yang Memikat dan Profesional.  Kuala Lumpur : SynergyMedia, S.A.Majeed & Co. Sdn. Bhd.
Noraini Idris, Shuki Osman.  (2009).  Pengajaran dan Pembelajaran Teori dan Praktis.  Kuala Lumpur : Mc Graw Hill
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad.  (2009).  Murid dan Alam Belajar.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A. Rashid.  (2010).  Guru dan Cabaran Semasa.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon.  (2010).  Asas Kepimpinan  & Perkembangan Profesional.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Zainal bin Haji Bujang.  (2008).  Guru Bestari Pelajar Jauhari.  Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publication.

MAJALAH
Zahri Ramlan.  (Bil. 58 Mac 2009).  Guru Inovatif didik pelajar alaf kini.  Pendidik, muka surat 50-53.

INTERNET
Baharom Mohamad, Mohamad Johdi Salleh.  Kepimpinan Pendidikan Dalam Pembangunan Modal Insan diakses daripada http://www.ipbl.edu.my/bm/penyelidikan/1998/98_Muhd.pdf pada 27 Ogos 2012.
Berita Harian Online.  (16 Mei 2012).  Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin diakses daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guruberinovasiadalahguruberkualiti_Muhyiddin/Article pada 13 Ogos 2012.
Azmy Mohamed.  (5/12/201).  Rasional Pelaksanaan PBS diakses daripada  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm pada 27 Ogos 2012.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.  Khutbah Jumaat 19 Jamadilakhir 1433h (11 Mei 2012m) “Guru Penjana Inovatif Pendidikan” diakses daripada http://www.jheains.sabah.gov.my/downloads1/Khutbah-Jumaat/Tahun-2012/05-Mei/11-Mei-2012.pdf pada 27 Ogos 2012.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012).  Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2012.  http://www.moe.gov.my/userfiles/file/Pelan%20Strategik%20Interim%20KPM%202011-2020.pdf diakses pada 28 Ogos 2012.
Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia diakses daripada http://www.moe.gov.my/ pada 27 Ogos 2012.
Modul i-Think diakses daripada http://www.ipkent.edu.my/ipkent/images/ithink/ithink.pdf pada 26 Ogos 2012.
Ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan diakses daripada
Yusliza Mohd Yusoff.  Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat Berfikir diakses daripada