Monday 10 September 2012

ISU 4 : WUJUD JAWATAN PEMBANTU GURU-WAJAR ATAU TIDAK? oleh MOHD JOHADI BIN SAARI


1.1             Pengenalan

Isu beban tugas guru bukanlah perkara baru dalam dunia pendidikan di Malaysia, namun ia kembali diperkatakan sejak kebelakangan ini berikutan bebanan tugas yang berlebihan sehingga bukan sahaja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengah guru hidup dalam tekanan kerja. Selain terlibat dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian.Implikasinya, golongan pendidik ini tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kepada kualiti dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG)  ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan.


Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 ini menunjukkan terdapat 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru yang terlalu banyak dalam kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.Selain itu, jawatankuasa ini turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu atau guru kedua dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Persoalannya,  apakah maksud guru pembantu atau guru kedua? Apakah implikasi penjawatan ini terhadap profesion keguruan?Dan wajarkah jawatan ini diwujudkan?Guru pembantu ialah guru yang mengambil alih tugas sampingan guru biasa terutamanya menguruskan tugas perkeranian serta pengurusan program teknologi maklumat dan sebagainya tanpa mengambil alih peranan sepenuhnya sebagai guru.  Pernyataan ini berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng, dalam akhbar Berita Harian, 14 Disember 2010 iaitu;

               “Guru pembantu boleh membantu guru di bilik darjah, tetapi tugas mereka tidak boleh bertindih, contohnya jika lebih tertumpu kepada tugas perkeranian dan pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi,”.

Louise Burnham dalam bukunya bertajuk 101 Essential List for Teaching Assistants yang diterbitkan pada 2006 (terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad,2011)membincangkan pelbagai perkara penting mengenai penjawatan guru pembantu antaranya persiapan awal guru pembantu, pengurusan murid, pengurusan bahan dan tugas sokongan dan sebagainya.Dalam buku tersebut, Louise Burnham mendefinisikan guru pembantu sebagai guru yang berperanan mengikut keperluan sekolah dan mungkin digelar penolong sokongan pengajaran, penolong sokongan individu, atau penolong kelas.  Penerbitan buku ini antara lain menunjukkan tugas sebagai guru pembantu telah lama diiktiraf di negara luar berbanding Malaysia di mana masih lagi dalam proses perbincangan.

Berbalik kepada persoalan pokok, sejauh mana penjawatan guru pembantu atau guru kedua ini dapat memberi implikasi terhadap beban yang ditanggung oleh guru biasa?Mampukah jawatan ini dapat memenuhi objektif sebenar cadangan asal?Ikuti kupasan isu ini secara lebih terperinci dan ilmiah.
1.2             Perkembangan Hujah


Selepas cadangan mengenai pengwujudan jawatan guru pembantu atau guru kedua ini diusulkan pada peringkat kementerian, media mula rancak memulakan polemik berkaitan isu ini terutamanya aspek kewajarannya.Kebanyakan berita hari ini memetik yang kalangan guru juga sangat menyokong syor menempatkan dua guru dalam kelas yang mempunyai ramai murid walaupun Kementerian Pelajaran belum mempunyai perancangan melaksanakannya.Ini bermakna cadangan diterima baik dan mereka tentunya mempunyai pendapat masing-masing berhubung perkara ini.


Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Tan Sri Abdul Rafie Mahat melalui kenyataannya dalam Berita Harian  menunjukkan respon positif terhadap cadangan penambahbaikan ini.  Beliau mengulas cadangan ini dengan mengatakan jawatan pembantu guru perlu diwujudkan bagi meringankan beban guru sekolah yang juga terpaksa melakukan kerja pentadbiran.  Hal ini merujuk kepada terdapat banyak rungutan daripada golongan pendidik yang terbeban dengan tugas-tugas di sekolah yang terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.Selain itu, beliau juga menyatakan sokongannya cadangan itu untuk disertakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan melalui kenyataanya dalam akhbar tersebut.

               “SPP melihat perkara ini sebagai amat wajar dan boleh dimanfaatkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.’’


Sementara itu, Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Arsad, berkata jika tidak ada jaminan melalui pekeliling kementerian khususnya bagi pengecualian tugasan dan aktiviti pada Sabtu dan Ahad, serta jaminan penempatan pembantu guru selagi itu ia (Sistem Kerja 9 Jam) tidak boleh dilaksanakan. Kenyataannya melalui akhbar Berita Harian bertarikh 30 Ogos 2012 ini bagi menjawab isu cadangan sistem kerja 9 jam untuk guru.  Menurut beliau, Kementerian Pelajaran perlu menyediakan pembantu guru terlebih dahulu dan keluarkan arahan tiada sebarang aktiviti pada Sabtu dan Ahad jika mahu memperkenalkan sistem kerja sembilan jam untuk guru.  Syarat ini adalah bagi memastikan   guru tidak berdepan tekanan kerja kerana terpaksa melakukan pelbagai kerja perkeranian sebagaimana dihadapi ketika ini, selain bebanan kerja mereka setara dengan kakitangan awam lain.

Selain itu,  Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan melalui kenyataannya dalam akhbar Berita Harian bertarikh 25 Jun 2009 berkata, jika cadangan (Wujud Jawatan Guru Pembantu) itu dilaksanakan, pekerja am ini mengurangkan beban guru serta sebagai persiapan awal menjayakan rancangan program penilaian prestasi sekolah.  Dalam kenyataan yang lain di dalam akhbar Utusan Malaysia, 22 Jun 2009, beliau turut mengatakan bahawa kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan di sekolah-sekolah dengan nisbah seorang pembantu guru bagi 500 orang pelajar.Hujah yang dikemukakan ini menunjukkan sokongan beliau sebagai presiden NUTP terhadap cadangan mewujudkan jawatan guru kedua sebagai langkah penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Bagi menyokong lagi terhadap cadangan mewujudkan jawatan guru pembantu ini, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad tampil untuk menyatakan bahawa pelaksanaan dua guru satu kelas dapat memberi faedah kepada murid kerana mudah untuk mengawasi mereka.  Katanya, guru boleh memberi tumpuan terhadap proses P&P, manakala guru pembantu berperanan memastikan proses berkenaan berjalan lancar di dalam bilik darjah. “Justeru, guru pembantu perlu memiliki kelayakan Kursus Khas Perguruan, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pendidikan atau mengambil mereka kalangan guru sandaran tak terlatih (GSTT) bagi memenuhi keperluan terbabit,” katanya dalam Berita Harian, 14 Disember 2010.

Manakala di dalam akhbar Berita Harian 29 September 2009, Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.  Hal ini berikutan menurut beliau ketika ini, guru terutamanya guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

Masih lagi kenyataan menyokong ke atas cadangan mewujudkan jawatan guru pembantu ini, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arshad dalam Berita Harian Online bertarikh 24 Ogos 2009 , berkata 25 persatuan dan kesatuan guru pernah berbincang mengenai cadangan itu dengan Kementerian Pelajaran, September lalu.  Beliau juga turut menyatakan bahawa bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail pernah menyatakan jawatan pembantu guru akan dipertimbangkan, namun selepas pemergian beliau, ia seolah-olah tiada kesinambungan dan masih menunggu jawapan hingga kini.

Isu pendidikan ini turut mengundang keprihatinan pakar pendidikan iaitu Peter Farrell, Profesor Sarah Fields bagi Keperluan Khas dan Psikologi Pendidikan Pusat Pendidikan Universiti Manchester turut berpendapat bahawa jawatan pembantu guru perlu diwujudkan.  Memetik kenyataan beliau dalam seminarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dicatat dalam laman rasmi UKM bertarikh 13 Oktober 2011 menyatakan, walaupun wujud kekangan-kekangan itu (kekangan kewangan, kekurangan pakar dalam bidang diperlukan, kekurangan sumber dalam kesihatan dan sektor perkhidmatan sosial dan pelaburan modal), pembantu guru adalah satu cadangan baik untuk Malaysia dan beliau mencadangkan agar kewujudan kakitangan seperti itu dimasukkan ke dalam kurikulum dan latihan perguruan.   Beliau juga turut berkata walaupun bilangan murid dalam kelas di Britain hanya seramai 20 orang sahaja, tetapi pembantu guru sudah pun disediakan. Di Malaysia di  mana bilangan murid mencecah antara 40 hingga 50 murid pembantu guru amat diperlukan.  Berdasarkan kenyataan beliau ini membuktikan negara yang mempunyai sistem pendidikan yang lebih baik turut melaksanakan sistem guru pembantu.

Secara keseluruhannya dapat dilihat cadangan ini mendapat respon yang amat baik daripada golongan berwajib dan rakyat Malaysia terutamanya golongan pendidik.Tinjauan melalui undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang dijalankan oleh unit berita stesen televisyen swasta NTV7 bertarikh 20 Jun 2009 mengenai kewajaran mewujudkan jawatan guru pembantu menunjukkan 67% bersetuju dengan cadangan tersebut manakala 37% lagi tidak bersetuju.  Ini menunjukkan kalangan guru dan masyarakat luar amat menyokong syor menempatkan dua guru dalam kelas yang mempunyai ramai murid walaupun Kementerian Pelajaran belum mempunyai perancangan melaksanakan cadangan ini.Ini bermakna cadangan diterima baik dan mereka tentunya mempunyai pendapat masing-masing berhubung perkara ini.

1.3             Implikasi Hujah
Untuk pembangunan sesebuah negara, pendidikan merupakan aset yang sangat penting kepada semua individu.Pembangunan modal insan menjadi tonggak kepada kejayaan sebuah negara.Namun persoalannya, siapakah yang yang menjadi agen penggerak kepada perubahan pembangunan modal insan ini?Dalam sektor pendidikan negara, guru adalah golongan yang paling bertanggungajawab untuk menggalas amanah negara ini.Modal insane yang perlu dibangunkan perlu seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.Justeru itu, keupayaan guru menguruskan segala tugasan dan tanggungjawab tanpa sebarang tekanan merupakan asas kepada pembangunan murid.Hal ini kerana, tanggungjawab guru yang kian mencabar bukan sahaja dari dunia pendidikan bahkan dari masyarakat yang meletakkan tanggungjawab yang tiggi kepada pihak sekolah.Faktor-faktor ini semua sudah tentu memerlukan ketahanan emosi untuk mengelak tekanan bebanan kerja guru.  Justeru itu, cadangan  NUTP ini sekurang-kurangnya menunjukkan rintahan golongan guru untuk menjaga hak kebajikan mereka masih didengari oleh pihak kementerian.

Kajian yang dilakukan pihak kementerian perlu menyeluruh dan mengambil kira implikasi positif kepada golongan guru, murid, sekolah seterusnya misi negara.  Pengwujudan perjawatan guru pembantu ini sudah tentu dapat menjimatkan masa guru untuk diberi fokus kepada tugas hakiki mereka daripada melakukan kerja sampingan sehinggakan menjejaskan kualiti proses penganjaran dan pembelajaran.  Masa berkualiti antara guru dan pelajar tentunya dapat dipertingkatkan bertepatan dengan usaha memperkasakan perkhidmatan pelajaran serta memartabatkan profesion keguruan.  Dengan adanya pembantu ini, guru akan dapat memberikan lebih tumpuan kepada aktiviti pembelajaran pelajar dan perkembangan pedagogi mereka.  Menurut Hashim Adnan, presiden NUTP dalam laporan akhbar Berita Harian 29 Jun 2009,  ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.  Guru tidak lagi perlu memikirkan soal 'kerja sosial' dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.

Implikasi positif ini bukan sekadar tertumpu kepada golongan guru sahaja, semua pihak sewajarnya menyedari hakikat dengan adanya perjawatan sokongan ini akan membantu prestasi akademi murid-murid serta dapat memastikan hak kebajikan murid terjaga.  Hal ini merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng,  dalam laporan Berita Harian 14 Disember 2010 yang mengatakan bahawa  guru pembantu  boleh berperanan membantu murid yang menghadapi masalah seperti sakit atau demam ketika berada dalam kelas.Menuruf Prof Ferrel pula dalam laporan laman rasmi UKM 13 Oktober 2011 menyatakan bahawa, “Akan ramai lagi murid yang ketinggalan dan mereka memerlukan bantuan pembantu guru’. Oleh itu, dengan adanya bantuan, prestasi setiap murid akan lebih dapat diberi tumpuan.

Dalam menuju misi taraf pendidikan bertaraf dunia, semua pihak tidak seharusnya berpeluk tubuh dan lebih teruk saling menunding jari apabila timbulnya isu bebanan tugas guru ini.  Pendidikan negara tidak akan mendapat sebarang keuntungan malahan semakin terkebelakang daripada beberapa negara lain yang lebih sensitif dengan perubahan taraf pendidikan negara mereka.  Sistem pendidikan negara yang baik perlu menyediakan pendidikan berkualiti.Pendidikan yang berkualiti bermula daripada corak perkhidmatan guru-guru.Corak perkhidmatan yang baik dan tersusun sudah tentu dapat mengelakkkan keciciran prestasi sekolah seterusnya taraf pendidikan negara.Oleh itu, peranan guru pembantu ini sudah tentu memainkan peranan penting untuk membantu sekolah khususnya guru-guru yang terkekang dengan bebanan tugasan berlebihan sehingga membantutkan usaha mereka kearah inspirasi negara.


1.4             Rumusan/ Cadangan

Berdasarkan perbincangan isu ini, saya amat tertarik tentang cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkenaan pengambilan guru pembantu atau disebut guru kedua yang akan ditempatkan di dalam kelas melebihi 35 orang murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah. Antara rasional yang dikemukakan ialah, ia mampu mengurangkan beban tugas guru, sekali gus dapat menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Pada pandangan saya dengan merujuk kepada pembacaan pada laman-laman web dan blog rasmi mahupun tidak rasmi serta pemerhatian dan pengamatan semasa proses praktikum di beberapa buah sekolah termasuk kategori luar bandar dan bandar di kawasan setempat, saya berpendapat bahawa cadangan ini memang bertepatan dengan keperluan pendidikan masa kini.  Guru kini dilihat bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah.  Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru sekalipun,  pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.


Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada suatu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.Banyak pihak yang mungkin mencebik atau menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi.Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh'.Ironinya, sejauh mana mereka meletakkan situasi sebenar bebanan dunia keguruan di atas bahu mereka sehingga cuba menafikan atau ‘berpaling muka’ terhadap keluhan guru ini untuk mendapatkan khidmat sokongan guru pembantu?

Jika diteliti, guru pembantu atau guru kedua yang dimaksudkan bukan melaksanakan tugas mengajar secara langsung seperti tugas guru sedia ada.Ia lebih kepada membantu melaksanakan tugas-tugas perkeranian di dalam kelas termasuk pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi serta menguruskan perkara-perkara yang melibatkan murid, misalnya masalah sakit atau demam ketika berada dalam kelas. Ringkasnya, kebanyakan tugas guru kedua yang dicadangkan itu hampir sama dengan tugas Jawatan Pembantu Pengurusan Murid yang ditempatkan di pra sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Berdasarkan senarai tugas umum yang ditetapkan pada cadangan berkenaan. Guru kedua hanya membantu dalam tugas-tugas sampingan. Jadi isu pertindihan tugas terutamanya yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara teorinya tidak timbul.

Saya juga melihat cadangan ini bukan bermakna guru pada masa sekarang tidak pernah bersyukur atau terlalu meminta tanpa mengenal makna kepuasan ibarat “diberi betis hendakkan paha”, tetapi menurut Laporan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010, terdapat 14 faktor yang menyumbang kepada tekanan bebanan tugas guru disekolah.  Antaranya ialah  kekerapan guru keluar berkursus, kokurikulum/sukan, tugas hujung minggu, tugas rencam , rantaian arahan (chain of command) dan lain-lain sehingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Itu memang jelas dan sudah lama berlaku dalam pelaksanaan pendidikan di negara kita.Saya amat bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar pendidikan dari Britain, Peter Farrell, iaitu Profesor Sarah Fields bagi Keperluan Khas dan Psikologi Pendidikan Pusat Pendidikan Universiti Manchester mengenai hak murid dengan kualiti pengajaran dan pembelajaran.  Memetik kenyataan beliau dalam seminarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dicatat dalam laman rasmi UKM bertarikh 13 Oktober 2011, “Setiap kanak-kanak boleh belajar dan mempunyai hak mendapatkan pendidikan berkualiti,” katanya.  Namun berdasarkan keluhan yang dilemparkan oleh kebanyakan guru, mereka menyatakan kesukaran untuk membuat persiapan rapi sebelum proses pengajaran disebabkan faktor bebanan kerja.

Realitinya, saya tidak bermaksud untuk menafikan pandangan-pandangan berlawanan dengan pandangan di atas, antaranya segelintir individu mungkin beranggapan tugas guru akanbertambah mudah apabila adanya khidmat guru kedua. Ada juga melontarkan keluhan bahawa guru hanya perlu bekerja setengah hari dan mendapat kemudahan cuti yang lebih banyak berbanding kakitangan awam lain di negara ini. Wujudnya khidmat guru kedua ini jugaakan menggalakkan guru-guru biasa untuk meninggalkan kelas dengan pelbagai alasan. Pada peringkat kementerian pula, kita boleh dengar kenyataan penolakan secara halus dengan alasan “kajian mendalam perlu dilakukan dengan teliti dan tentu mengambil masa yang lama untuk diputuskan” atau “peruntukan kerajaan tidak mencukupi untuk membayar emolumen kakitangan baru”.

Namun apa jua alasannya, sesiapa sahaja tidak akan sanggup untuk melihat sistem pendidikan negara dihujani dengan isu-isu yang hanya akan melemahkannya tanpa sebarang perubahan dan anjakan. Kerajaan khususnya melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah lama bertekad untuk memastikan guru-guru di Malaysia memiliki kemahiran dan kualiti kerja cemerlang supaya pendidikan negara kita setanding dengan pendidikan negara lain di dunia seperti Switzerland, Sweden dan Singapura. Malah “Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia” pernah dipilih sebagai tema Hari Guru pada tahun 1996. Manakala pada tahun 1999, “Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang” menjadi sasaran untuk dicapai.Malangnya, bagaimana kita hendak melahirkan guru yang berkesan seterusnya menghasilkan “produk” kita setaraf dengan negara-negara lain di dunia sedangkan dari segi pelaksanaan kita sudah jauh berbeza. Buktinya, fakta nisbah guru dan murid di negara lain berbanding negara kita:

Negara
Nisbah Guru Per Murid
Belgium
1:15
Amerika Syarikat
1:14
Denmark
1:10
Singapura
1:17
Malaysia
1:30+

  Sumber: Institusi pendidikan negara terbabit dan UNICEF (Dipetik daripada Berita Harian Online 14 Disember 2010)

Pembuktiaan skala nisbah ini adalah bukan untuk menyasarkan ataumenetapkan nisbah guru dan murid sama seperti negara maju seperti dalam senarai di atas kerana ianya sememangnya adalah cukup sukar kerana bukan sahaja melibatkan perjawatan, tetapi juga melibatkan peruntukan besar dalam menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi. Namun, sekurang-kurangnya langkah menyediakan khidmat guru pengganti di sekolah tentunya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tugas guru dan seterusnya mereka akan dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap tugas mengajar. Guru pembantu atau kedua pula boleh menumpukan perhatian pada tugas sampingan di dalam kelas mahupun di sekolah.

Kesimpulannya, seandainya cadangan ini disambut baik oleh pihak kerajaan Malaysia melalui perlaksanaanya, saya harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar memandangkan berkurangnya beban kerja.Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara.


Di sebabkan itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera.Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata.Saya percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

REFLEKSI

Tugasan ini boleh dikatakan salah satu tugasan yang agak mencabar kemampuan saya.Tugasan yang merangkumi kemahiran berfikir dan memahami, mengenal dan menganalisis, serta kemahiran membina dan mengendalikan blog sememangnya menguji kemampuan saya terutamanya bagi mencapai tahap penulisan ilmiahyang kreatif dan kritis sebagaimana yang digariskan.Justeru itu, bagi mencapai tahap tersebut, saya telah memberi sepenuh komitmen saya sepanjang tempoh menyiapkan tugasan ini demi mempersembahkan hasil yang berkualiti.

Kualiti sesuatu tugasan bergantung kepada tahap keupayaan individu mengikut garis panduan yang diberikan.  Justeru, setiap masalah yang dihadapi dalam menyiapkan tugasan ini akan dicari jalan penyelesaiannya supaya tidak mengganggu gugat kualiti persembahan tugasan saya.  Masalah utama yang  dihadapi ialah kurang penguasaan atau kefahaman mengenai isu yang dipilih.  Isu guru pembantu ialah isu yang masih lagi dalam proses perbincangan pada peringkat kementerian.  Oleh itu, sudah tentu skop perbincangannya masih lagi terhad seterusnya mengehadkan rujukan saya.Namun tidak mahu menjadikannya alasan, saya telah menghabiskan banyak masa untuk membuat pembacaan di internet dan pusat sumber. Saya juga telah mengumpul apa sahaja maklumat yang berkaitan bagi disemak oleh Puan Salina.  Setelah diberi respon dan keterangan oleh Puan Salina, kebuntuan tadi hilang dan saya sangat bersemangat untuk meneruskan tugasan.

Proses-proses ini sememangnya amat berguna buat saya.Setiap ilmu dan manfaat yang diperolehi adalah kejayaan lebih-lebih lagi melibatkan cabaran.  Setelah berhempas pulas,, akhirnya saya telah berjaya menyiapkannya.  Cabaran kekurangan masa, kefahaman, dan kemahiran menganalisis tidak memustahilkan saya untuk mempersembahkan kualiti yang baik.  Kejayaan juga diperoleh apabila secara tidak langsung saya telah berjaya membina blog dengan bantuan rakan sekumpulan lain.  Saya adalah antara yang tidak mempunyai blog kerana tidak berkemahiran untuk membinanya.  Namun setelah membinanya ia mendorong saya untuk mempunyai laman blog sendiri kerana timbul kesoronakan untuk berkongsi ilmu dan kemahiran melalui laman yang disediakan. 

Akhir sekali, saya tidak bercadang untuk menfokuskanataumenghentikan laman blog yang disediakan untuk tugasan kursus ini sahaja.Sudah tentu saya mempunyai matlamat ke arah meningkatkan kualiti pendidikan anak bangsa sendiri.  Saya berharap pada masa hadapan, laman blog ini akan dapat dijadikan juadah rujukan ilmiah kepada sesiapa sahaja terutamanya anak-anak didik atau murid yang memerlukan pendedahan secara ilmiah bukan bergantung kepada “cakap-cakap mulut” sahaja tanpa merujuk sebarang rujukan rasmi.

BIBLIOGRAFI
Berikut adalah antara sumber bahan bacaan dan maklumat yang kami gunakan sepanjang proses menyiapkan tugasan ini:

Buku :
  1. Ahmad Subki Bin Miskon.(2012). Asas Kepimpinan & Perkembangan 
Profesional. Selangor:Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

  1. Dr. Ragbir Kaur Joginder Sighn (PhD).(2012). Panduan ilmu Pendidikan untuk
DPLI (Pedagogi). Selangor:Kumpulan Budiman  Sdn Bhd.

  1. Loiuse Burnham.(2012). 101 Essential List for Teaching Asistants
Kuala Lumpur: Institut terjemahan Negara Malaysia Berhad.

4.    Syed Ismail Bin Syed Mustapa.(2011). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor:Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

Internet :

  1. Lum Chee Hong (2012).Guru Kedua Tumpu Tugas Sampingan. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurukeduatumputugassampingan/Article. Diakses pada 20 Ogos 2012.

  1. Syuhada Choo Abdullah (2009).Spp Cadang Lantik Pembantu Guru Tingkat Aktiviti Pembelajaran. http://ppdkerian.edu.my/portal/modules.php?name=News&file=article&sid=124. Diakses pada 20 Ogos 2012.


  1. Khairul Azran Hussin (2012).Seksa Jadi Cikgu. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Seksajadicikgu/Article/. Diakses pada 20 Ogos 2012.

  1. Shaarani Ismail (2012).'Sedia pembantu guru jika kerja sembilan jam'. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sediapembantugurujikakerjasembilanjam_/Article. Diakses pada 21 Ogos 2012.


  1. Mohd Aziz Ngah (2009).11,000 Pembantu Guru Diperlukan. http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20090620233431/Article/. Diakses pada 21 Ogos 2012.

  1. Zaini Hassan (2009).Wujud Jawatan Pembantu Guru. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm. Diakses pada 21 Ogos 2012.



  1. Minda Pengarang (2012).Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_Langkahsediakangurupembantumamputingkatprestasipelajar/Article. Diakses pada 22 Ogos 2012.


  1. Anand Kumar Dan Haspaizi Mohd Zain. (2010).Dua Guru 1 Kelas. http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2010/12/dua-guru-1-kelas.html. Diakses pada 22 Ogos 2012.


  1. ….. (2010).Isu Beban Tugas Guru : Kenyataan Media. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sediapembantugurujikakerjasembilanjam_/Article. Diakses pada 21 Ogos 2012.

  1. ….. (2010).NUTP Cadang Wujud Jawatan Pembantu Guru Untuk Tugas Sampingan.http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=466402. Diakses pada 21 Ogos 2012.

  1. Basir Zahrom (2012) .Kementerian Perlu Lantik Pembantu Guru Selesaikan Kerjaperkeranian.http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2009/08/fokus-bebanan-tugas.html. Diakses pada 21 Ogos 2012.



  1. S. Sivaselvam (2011).Pembantu Guru Perlu Diwujudkan, Kata Pakar Pendidikan.http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-kampus/862-teaching-assistants-have-become-a-must-says-education-specialist.html.Diakses pada 26 Ogos 2012.

  1. Ridzuan Yeop (2012).Khidmat pembantu mampu atasi beban tugas guru di sekolah.http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Khidmatpembantumampuatasibebantugasgurudisekolah/Article/.Diakses pada 31 Ogos 2012.


Video

  1. Berita NTV7 bertajuk Jawatan Guru Pembantu
Sumber : Youtube
Diakses pada 31 Ogos 2012





No comments:

Post a Comment