Monday 10 September 2012

ISU 3 : GURU INOVATIF MELONJAKKAN PRESTASI NEGARA oleh SHAHIRA BT RAMLI

1.       1.1       PENGENALAN

Setiap tahun, sambutan hari guru disambut dengan tema tertentu yang mengandungi makna tersendiri.  “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai tema Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 bagi tahun 2012.  Pemilihan tema ini bersesuaian dengan era kini yang bukan sahaja memerlukan guru berpengetahuan bahkan juga memiliki ciri kreatif dan inovatif untuk menghasilkan  proses pengajaran dan pembelajaran efektif seterusnya melahirkan produk yang berkualiti.

Transformasi Pendidikan Negara yang berlaku memerlukan perubahan dari aspek peningkatan profesionalisme guru.  Bidang pendidikan mesti melalui pembaharuan agar bidang ini tidak ketinggalan jauh oleh bidang-bidang lain seperti bidang ekonomi, reka bentuk, teknologi, kejuruteraan dan lain-lain.  Tambahan pula bidang ini merupakan satu sistem dinamik yang memerlukan perubahan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan aspirasi sesebuah negara.

Kamus Dewan edisi keempat mendefiniskan perkataan “inovasi” sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru. Inovasi juga merupakan perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan, memulakan dan sebagainya sesuatu yang baru.    Istilah yang berkait rapat dengan “inovasi” ialah “inovatif” yang bererti bersifat inovasi.  Inovatif bermaksud suatu tindakan bagi mengada atau memulakan sesuatu yang baru.  (Zainal bin Haji Bujang, 2008)

Perkataan “kualiti” pula ditakrifkan sebagai darjah kecemerlangan biasanya yang tinggi dan mutu manakala berkualiti adalah mempunyai kualiti atau bermutu.  Toh, 2005 (dalam Noraini Idris, Shuki Osman, 2009), menyatakan bahawa kualiti guru merujuk kepada pengethaun, kemahiran dan sikap.

1.2 PERKEMBANGAN HUJAH

Dalam teks ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan, dinyatakan :

“Daya kreativiti dan inovasi terletak kepada faktor sumber manusia negara iaitu rakyat Malaysia.  Setiap rakyat Malaysia seharusnya menerima inovasi sebagai sebahagian daripada cara hidup.  Inovasi bukan hak milik para saintis, penyelidik, teknologis dan akademia semata-mata.  Sebaliknya, melibatkan kelompok masyarakat Malaysia.” 

Dalam ucapan perasmian tersebut turut dinyatakan bahawa inovasi telah dijadikan sebagai mauduk utama dalam usaha kerajaan mentransformasikan negara dari tahap ekonomi sederhana kepada yang berpendapatan tinggi.  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pernah berkata : “Menjadikan inovasi supaya diterima oleh masyarakat dahulu adalah penting sebelum setiap ahli masyarakat menerimanya sebagai sebahagian daripada kehidupan sehariannya.  Menjadikan inovasi sebagai budaya kita akan membolehkan Malaysia mencapai tahap transformasi serta pembangunan yang lebih tinggi dan maju di masa hadapan.”
           
Yusniza Mohd Yusof, dalam artikel “Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat Berfikir” memberi definisi inovasi sebagai perubahan cara berfikir bagi mendapatkan hasil atau produktiviti lebih baik dari semasa ke semasa. Ia bukan hanya berkaitan sains dan teknologi semata-mata.   Menurut beliau, inovasi juga bukan hanya untuk golongan profesional tetapi termasuk masyarakat pelbagai taraf sosial tidak kira di bandar atau pedalaman. Kesedaran mengenai kepentingan inovasi perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat, seiring kemajuan negara dan perubahan global. 

Berdasarkan artikel ini terdapat beberapa ciri guru berinovasi yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.  Antara ciri guru berinovasi adalah mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.  Hal ini sejajar dengan pandangan Noriati A. Rashid dalam Guru dan Cabaran Semasa iaitu guru-guru perlu memiliki keupayaan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang mampu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam teks khutbah jumaat 11 Mei 2012, menyatakan bahawa guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik.

Di samping itu, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.  Menurut Esah Sulaiman, 2003, guru perlu cekap mengubahsuai pengajaran, prihatin terhadap keperluan pelajar dan jangan terlalu terikat dengan sesuatu keadaan atau bahan tertentu.

Noriati A. Rashid, 2009 menyatakan bahawa guru-guru tidak sepatutnya meneruskan pengajarannya sedangkan ada dalam kalangan muridnya yang didapati sudah hilang tumpuan.  Halizah Hamzah, 2009, pula berpadangan bahawa guru seharusnya melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif dan yang dapat merangsang minat murid.  Kepelbagaian aktivti bukan sekadar berupaya menarik minat murid bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di mana murid tertunggu-tunggu untuk melihat aktiviti berikutnya.

Sememangnya terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan oleh guru bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran Antara kepelbagaian aktiviti yang dicadangkan oleh Noriati A. Rashid dalam Murid dan Alam Belajar adalah melalui pelbagai bermain sebagai usaha menarik minat murid menguasai sesuatu pengetahuan tanpa disedari oleh murid bahawa mereka sedang belajar.  Bagi murid-murid yang mempunyai gaya berfikir yang tinggi, guru boleh menyediakan aktiviti analisis atau penyelesaian masalah dengan menggunakan borang grafik manakala bagi murid yang kurang berminat untuk belajar.  Guru turut boleh mendorong pembelajaran pembelajaran aktif dengan menggunakan audio visual yang menarik selain daripada menggunakan banyak peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) atau menggalakkan murid menghasilkan sendiri bahan pembelajaran mereka.

Satu daripada tanggungjawab guru kepada murid adalah menjadi kreatif dan inovatif.  Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2010, mengemukakan bahawa :

“Guru yang kreatif dan inovatif dapat mencetuskan idea baharu dan dapat menterjemahkan kehendak dan matlamat kurikulum dengan menggunakan kaedah, pendekatan dan strategi pengajaran serta pembelajaran yang kreatif dan inovatif.”

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia, 1994, memberi takrifan bahawa inovasi merupakan sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimaklumkan (seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain).  Inovasi atau pengenalam idea-idea baru dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi baru, perubahan-perubahan  prosedur yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos, dan perubahan ini meningkatkan penghasilan kerja.

Menurut INTAN, antara ciri-ciri orang yang mempunyai sifat kreativiti dan inovasi adalah sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.  Orang yang kreatif dan inovatif juga berani untuk untuk mencuba teknik dan kaedah baru bertujuan memudahkan sesuatu kerja selain suka bermain dengan idea dan berani mencuba.  Sebaliknya, sifat orang yang tidak mempunyai kreativiti dan inovasi antaranya adalah tidak gemar kepada perubahan dan pembaharuan.  Golongan ini juga tidak berminat untuk mencuba dan takut kepada kegagalan di samping bersikap mudah putus asa.  Ciri negatif lain yang dimiliki oleh mereka adalah memandang remeh usaha-usaha pembaharuan orang lain serta berperasaan hasad dan dengki.

Tan Sri Muhyiddin juga menyebutkan bahawa, "Keutamaan guru berinovasi adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.”  Guru berinovasi mementingkan aplikasi ilmu oleh para murid sebagaimana yang dikemukakan oleh Haliya Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel dalam Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku bahawa mutu pendidikan dapat dibuktikan melalui kefahaman murid yang mendalam terhadap topik yang dikaji serta dapat menggunakan pilihan tersebut dalam situasi-situasi yang memerlukan.

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengutarakan bahawa guru berinovasi antara lainnya mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir.  Penyediaan persekitaran pembelajaran yang positif sememangnya merupakan suatu aspek yang amat penting.  Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009, menyatakan bahawa guru perlu menyediakan suasana dan persekitaran yang kondusif terhadap pembelajaran semasa mengajar.  Persekitaran pembelajaran dalam konteks pendidikan merujuk kepada iklim dan budaya bilik darjah secara menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek tertentu iaitu pola komunikasi, reka bentuk, pelan lantai dan susun atur ruang fizikal, dan kebolehan guru mengurus murid-murid dalam bilik darjah.  (Choong Lean Keow, 2009). 

Mook Soon Sang, 2011, pula mengemukakan ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif yang merangkumi hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya serta kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan.  Menurut beliau perasaan kekitaan antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan kewujudan satu keadaan yang setiap murid melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan juga antara ciri bilik darjah yang baik.

Dari aspek iklim persekolahan yang kondusif, Mook Soon Sang, 2009 menyebutkan iklim persekolahan yang kondusif adalah iklim persekolahan yang terbuka dan menggalakkan murid bebas berinteraksi antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam aktiviti sekolah.  Seorang guru yang baik berupaya untuk mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar.

Dalam artikel berkenaan, Timabalan Perdana Menteri  juga berpandangan bahawa guru berinovasi juga termasuklah guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.  Mahmud Khalifah dan Usamah Khutub mentafsirkan penilaian sebagai proses metodologi yang tersusun rapi untuk mengumpulkan beberapa keterangan dan mentafsirkan bukti-bukti guna melahirkan keputusan yang berhubungan dengan para murid atau program pendidikan.  Proses ini juga adalah sandaran informasi yang digunakan pakai bagi tujuan mengetahui keberhasilan dan kekurangan dalam meraih tujuan-tujuan umum yang terkandung oleh sistem pendidikan.

Menurut kamus dewan edisi keempat holistik membawa makna bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai satu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja.  Berikutan pembaharuan dari segi pentaksiran Azmi Mohamed, berpandangan pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang bermula bagi murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata, selari dengan tujuan pendidikan seperti yang terdapat dalam Undang-Undang Malaysia iaitu Pendidikan 1995 iaitu untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran, dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saning tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.

Satu alternatif telah dijalankan menerusi kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovatif di peringkat sekolah rendah dan menengah iaitu program i-Think.  Ia juga untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid yang berinovatif.  i-Think adalah pendekatan yang realistik dan praktikal untuk memupuk proses pemikiran dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah di kalangan guru dan pelajar sama-sama melalui penggunaan peta pemikiran yang dibangunkan oleh Dr David Hyerle.



1.3 IMPLIKASI HUJAH

Hujah-hujah yang diutarakan menunjukkan guru berinovasi sangat diperlukan selari dengan kemajuan dan perkembangan semasa.  Kriteria guru berinovasi sebagai satu daripada ciri guru berkualiti berupaya meningkatkan kemahiran seseorang guru.  Hal ini selari dengan pandangan Mok Soon Sang, 2011, yang menyebut tentang satu daripada peranan guru iaitu sebagai inovator.  Menurut beliau, sebagai inovator guru seharusnya memperkenalkan idea, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik mengajar yang baru daam bilik darjah.  Peranan ini penting bagi guru untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Inovasi dari aspek pengurusan bilik darjah yang kondusif menurut Noriati A. Rashid, 2010, membawa kepada perubahan dari aspek pendekatan berpusatkan murid, kemudahan pengajaran dan pembelajaran dan landskap maklumat.  Perubahan daripada pengajaran tradisional yang lebih berpusatkan guru perlu diubah agar bersesuaian dengan kehendak semasa.  Pengajaran yang berpusatkan murid merupakan suatu pendekatan terkini yang dapat menggalakkan murid untuk berfikir pada aras tinggi.  Antara kaedah pembelajaran yang boleh digunakan ialah inkuiri penemuan, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan main.

Dari segi pengajaran dan pembelajaran, kemudahan harus dipelbagaikan dan ditambah  bagi memenuhi kepelbagaian bakat dan kecerdasan murid di samping meningkatkan kebolehan murid untuk merancang, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri, mencipta dan berkarya.  Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang menitikberatkan kepelbagaian latar belakang dan sosiobudaya murid membolehkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid dikaitkan dengan pengalaman baharu yang hendak dibina.

Perubahan landskap maklumat sudah tentu mengalami perubahan dengan perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).  Hal ini meliputi kualiti pusat sumber yang menjadi pusat Literasi Maklumat di sekolah.  Guru perlu bertindak untuk memainkan peranan dalam mengurus pusat sumber dengan sehabis baik bagi membolehkan murid belajar untuk memperoleh kemahiran mengakses maklumat, membuat penelitian bahan, memahami bahan serta proses pemilihan dan memproses bahan.

Inovasi guru seterusnya membolehkan penilaian secara holistik dan menyeluruh ke atas murid.  Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan. (Azmi Mohamed, Utusan Malaysia – 5/11/2012).  Hal ini seterusnya mendorong kepada pembinaan modal insan yang bukan hanya mementing aspek intelek atau akademik semata-mata tetapi menyeluruh dalam segenap aspek.

Glenn (2001) menyatakan bahawa kualiti guru merupakan faktor penting dalam menentukan kualiti sekolah.  Guru yang bersifat inovatif sekali gus dapat membawa peningkatan kepada kualiti sesebuah sekolah.  Dr. Baharom Mohamad dalam Prosiding “Seminar Pembangunan Modal Insan 2009” menyatakan bahawa sistem persekolahan yang sentiasa menghadapi pelbagai perubahan dan pembaharuan,memerlukan peningkatan inovasi dan kreativiti dalam sistem persekolahan. Ini kerana ia merupakan institusi yang berkesan bagi merangsang dan mengembangkan potensi pelajar.  Hal ini secara jelas menunjukkan bahawa guru berinovasi mampu meningkatkan sistem persekolahan dan kualiti sesebuah sekolah.

Suatu yang tidak dapat dinafikan bahawa kesediaan para guru meningkatkan sifat inovatif dalam diri berupaya membantu sistem pendidikan negara mencapai tahap sistem pendidikan bertaraf dunia.  Walau bagaimanapun, pelaksanaan proses integrasi teknologi dan pendidikan dalam kalangan guru bukanlah suatu  perkara yang mudah.  Perubahan dalam aplikasi TMK yang meluas untuk meningkatkan tahap pembelajaran murid merupakan cabaran buat guru kerana fungsi teknologi hanyalah sebagai alat.  (Noraini Idris, 2009). Wujudnya faktor-faktor tertentu  yang menjadi halangan kepada pengintegrasian teknologi di sekolah seperti para guru yang menolak perubahan, masalah kewangan, masa yang terhad, kekurangan kemahiran serta kekurangan pekakasan dan perisian. 

Pembaharuan yang berlaku juga menjadikan peranan guru semakin mencabar.  Guru mesti mempunyai kesedaran tentang keperluan untuk berinteraksi dengan teknologi terkini supaya dapat membiasakan generasi kini dengan cara hidup canggih pada abad ke-21.  Antara kemahiran yang harus dimiliki oleh guru adalah dari segi penggunaan multimedia dalam pendidikan dan pemilihan maklumat mengikut kesesuaian tujuan pengajaran dan pembelajaran.  Penguasaan kemahiran selari dengan perkembangan semasa adalah sesuatu yang amat penting bagi peningkatan profesionalisme keguruan dan kualiti keguruan seseorang guru.

Mahmud Khalifah dan Usamah Qhutub dalam “Menjadi Guru Yang Dirindu”, satu daripada sebab tekanan jiwa yang berhubungan dengan peribadi guru adalah hanya menggunakan satu kaedah dalam pengajaran; tidak adanya pembaharuan mahupun inovasi sehingga menjadikan proses belajar dan mengajar hanya rutin harian belaka.  Hal ini boleh menyebabkan guru berpandangan bahawa proses pendidikan merupakan
sesuatu yang tidak berkembang, bahkan mati.  Pandangan sebegini menjadikan guru gagal dalam meningkatkan kualiti diri sebagai seorang guru.  Tekanan yang dihadapi secara tidak langsung akan memberi kesan negatif terhadap kepada murid, sekolah dan masa depan pendidikan.



1.4 CADANGAN DAN RUMUSAN

Berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh, saya berpandangan bahawa seseorang guru berkualiti masa kini mesti mengikuti perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan perkembangan antarabangsa.  Maka, guru inovasi masa kini perlu berkemahiran tinggi dari aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) memandangkan pada abad ini, negara berdepan dengan cabaran globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan pengembangan TMK. 

Bagi melahirkan guru yang berinovasi, perkara paling utama yang mesti diutamakan adalah latihan kemahiran kepada bakal guru dan para guru dalam perkhidmatan.  Latihan kepada para guru praperkhidmatan bermula daripada latihan guru sama ada di Institut Pengajian Tinggi (IPTA) atau Institut Pendidikan Guru (IPG).  Pembentukan modal insan guru harus diberi keutamaan bagi untuk membolehkan pembentukan modal insan yang cemerlang.  Bertitik tolak daripada ini, maka perubahan dalam latihan perguruan yang selari dengan tuntutan perkembangan semasa merupakan suatu keperluan.

Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan pendidikan, Mok Soon Sang, 2011, mencadangkan agar guru harus sentiasa membaca buku ilmu pendidikan, mengikuti kursus peningkatan ilmu profesionalisme keguruan serta menghadiri seminar atau konvensyen pendidikan di dalam atau luar negeri.  Guru akan keluar daripada amalan pengajaran dan pembelajaran yang lapuk hanya apabila mereka didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran pedagogi terkini.  (Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2012).  Maka dalam hal ini, pelaksanaan program Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) yang dijalankan secara berkesan akan menyumbang ke arah pembentukan guru yang inovatif seperti yang diharapkan oleh sistem pendidikan kini.

Selaras dengan transformasi pendidikan yang mementingkan TMK, menurut Zahri Ramlan dalam Pendidik bil. 58, Mac 2009, para guru di Malaysia diberi pendedahan dengan kepelbagaian kursus pengkayaan dalam kemahiran dan kompentensi menggunakan peralatan TMK seperti kemahiran perkakasan dan perisian aplikasi.  Kursus-kursus kemahiran TMK yang dilaksanakan dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah sekiranya guru yang menerima kursus ini berjaya mengintegrasikan kursus yang diterima.

Di samping itu, amalan reflektif dan penyelidikan tindakan wajar menjadi amalan para guru dalam menyuburkan nilai-nilai inovasi dalam profesionalisme keguruan. Pendekatan guru sebagai penyelidik akan memberi ruang kepada guru untuk merancang sendiri inovasi seterusnya memerhati dan menilai sendiri tindakan yang dilaksanakan. (Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009).  Hal ini akan lebih mendatangkan keberhasilan terhadap perubahan sebarang bentuk amalan dalam bilik darjah kerana individu guru sendiri melalui pengalaman dalam melaksanakan perubahan tertentu.

Galakan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada para guru untuk melaksanakan inovasi merupakan sesuatu usaha dan sangat baik dan wajar diteruskan.  KPM telah memperkenalkan Pertandingan Inovasi pada peringkat  bahagian dan institusi bertujuan memupuk dan mencungkil kehebatan inovasi dalam kalangan warga kementerian.  Selain itu, KPM telah menjadikan elemen kreativiti dan inovasi sebagai satu daripada elemen yang terdapat dalam Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2020.

Perkongsian pintar antara pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pihak swasta yang bermula apabila sistem pendidikan negara terlibat secara langsung dalam usaha melahirkan dan membekal tenaga manusia yang mempunyai kemahiran dalam bidang TMK merupakan sesuatu yang sangat bermanfaat kepada bidang pendidikan.  Antara projek perkongsian pintar termasuklah program i-Think seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Schoolnet , GSB Technology Learning in School, Program Sekolah Angkat bersama Samsung Digital ClassroomK-Perak E-Learning Cluster No.1 (KPEC) dan Cyberkids Camp.
Selain itu, budaya kolaborasi dalam pendidikan juga adalah suatu usaha yang baik dalam mempertingkatkan amalan inovasi dalam kalangan guru.  Budaya ini boleh dijadikan amalan sama ada sesama guru dalam sekolah yang sama atau dalam program-program tertentu merangkumi peringkat daerah, kebangsaan bahkan antarabangsa.  Penyelidkan tindakan juga boleh dijalankan secara kolaborasi.  Pada era ini, terdapat juga kolaborasi guru dalam bentuk atas talian melalui pembinaan laman web tertentu seperti laman portal cikguNet dan portal pendidikan utusan.  Hal ini membolehkan para guru dan pelajar berbincang serta berkongsi ilmu dan kemahiran tanpa sempadan. 

Secara keseluruhannya, era globalisasi dunia dan transformasi pendidikan dalam negara memerlukan para guru sebagai agen penggerak untuk melaksanakan perubahan dalam kepelbagaian aspek pendidikan.  Peranan guru sebagai inovator penting dalam usaha melahirkan generasi memenuhi ciri-ciri modal insan holistik iaitu modal insan yang sejajar dengan perkembangan peringkat global dan memiliki peribadi unggul, menjunjung budaya bangsa dan negara.  Guru perlu sedar bahawa bidang pendidikan akan ketinggalan sekiranya tidak mengikut perkembangan arus perdana.

REFLEKSI



Sepanjang melalui proses menyelesaikan tugasan EDU 3108, saya telah memperoleh banyak pengalaman dan mendapat input-input baru berkaitan pendidikan serta isu keguruan.  Tugasan bagi subjek ini bukanlah sesuatu yang mudah dan agak mencabar buat saya.  Tambahan pula ini merupakan pengalaman pertama saya dalam mengulas artikel dan membina blog berunsurkan pendidikan secara kolaboratif bersama rakan-rakan lain.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang usaha saya menyelesaikan kerja kursus ini, saya bersyukur kerana dapat menyiapkan kerja kursus ini dalam tempoh yang ditetapkan.  Langkah pertama bagi pelaksanaan tugasan ini adalah pencarían isu yang bertepatan dengan guru dan keguruan.  Saya telah melayari laman-laman web tertentu, mencari, memahami dan memilih isu yang  tertentu.  Seterusnya saya telah berbincang dengan rakan-rakan dan merujuk kepada Puan Salina binti Mokhtar, pensyarah subjek ini bagi membincangkan kesesuaian isu yang dipilih dengan kehendak tugasan subjek.

Dari aspek pemerolehan maklumat, saya telah membuat rujukan bahan-bahan ilmiah seperti buku-buku yang berkaitan dan artikel daripada majalah serta akhbar atas talian.  Di samping itu saya melayari laman-laman web tertentu berkaitan pendidikan bagi meningkatkan pemahaman saya berkaitan guru berinovasi dan inovasi pendidikan yang berlaku pada hari ini. Saya turut membuat pembacaan berkaitan program-program dan pelan-pelan yang direncanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Melalui kerja kursus ini, saya dapat memperoleh pengalaman dan kemahiran untuk membaca secara dan berfikir secara kritikal.  Aspek ini saya peroleh melalui proses menganalisis bahan bacaan yakni artikel yang telah saya pilih dan kemudiaannya mencari bahan rujukan bagi proses mengulas perkara-perkara tertentu yang terdapat dalam artikel berkenaan.  Pembacaan secara kritikal memerlukan saya memahami konsep, istilah, logik dan sebagainya.  Manakala pemikiran kritis menuntut saya membuat banyak rujukan untuk penjanaan idea.

Bagi pembinaan blog laman ilmu, kerjasama sesama ahli kumpulan merupakan sesuatu yang sangat penting.  Pembinaan blog membolehkan saya da rakan-rakan mengaplikasikan kemahiran dari aspek TMK.  Selain itu, ianya secara tidak langsung dapat meningkatkan amalan kolaboratif sesama kami dalam membangunkan blog laman ilmu bagi memenuhi tugasan bagi subjek ini.  Hal ini menyedarkan saya bahawa perkongsian kemahiran melalui amalan kolaboratif sememangnya memberi manfaat dan meningkatkan kemahiran guru sekali gus memberi impak positif kepada profesionalisme keguruan.

Tugasan bagi subjek ini telah membuka hati saya untuk menjadi seorang yang lebih sensitif tentang profesión yang telah saya pilih iaitu profesión keguruan.  Isu-isu berkaitan pendidikan dan keguruan merupakan antara isu yang kerap diperkatakan.  Dalam hal ini, sebagai seorang bakal guru, saya tidak sepatutnya mengambil remeh tentang isu-isu ini memandangkan saya sendiri berada dalam bidang ini.

Pembinaan blog laman ilmu sewajarnya saya teruskan dan pengetahuan berkaitan kemahiran dalam bidang integrasi maklumat dan komunikasi perlu saya tingkatkan pada masa hadapan sebagai satu usaha meningkatkan kualiti diri sebagai seorang guru yang inovatif.  Análisis daripada artikel yang saya pilih mendorong saya supaya sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dari semasa ke semasa kerana setiap saat dunia ini mengalamai perubahan.

Harapan saya agar segala ilmu dan kemahiran yang saya peroleh sepanjang proses yang saya lalu bagi menyelesaikan tugasan ini tidak saya persia-siakan.  Ilmu hanya benar-benar bermanfaat sekiranya dijadikan amalan.


BIBLIOGRAFI


BUKU
Ahmad Sarji Abdul Hamid.  (1993).  Penerapan Nilai dan Budaya Kerja Cemerlang dalam Pentadbiran Awam Malaysia.  Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Choong Lean Keow.  (2009).  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel.  (2009).  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). (1994).  Citra Karya Falsafah, Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam.  Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Kamus Dewan.  (edisi keempat).  (2005).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Mok Soon Sang.  (Jun 2009).  Pedagogi Untuk Pengajaran & Pembelajaran.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang.  ( 2011).  Pengurusan Bilik Darjah & Tingkah Laku.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mahmud Khalifah, Usamah Khutub.  Menjadi Guru Yang Dirindu.  Bagaimana Menjadi Guru Yang Memikat dan Profesional.  Kuala Lumpur : SynergyMedia, S.A.Majeed & Co. Sdn. Bhd.
Noraini Idris, Shuki Osman.  (2009).  Pengajaran dan Pembelajaran Teori dan Praktis.  Kuala Lumpur : Mc Graw Hill
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad.  (2009).  Murid dan Alam Belajar.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A. Rashid.  (2010).  Guru dan Cabaran Semasa.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon.  (2010).  Asas Kepimpinan  & Perkembangan Profesional.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Zainal bin Haji Bujang.  (2008).  Guru Bestari Pelajar Jauhari.  Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publication.

MAJALAH
Zahri Ramlan.  (Bil. 58 Mac 2009).  Guru Inovatif didik pelajar alaf kini.  Pendidik, muka surat 50-53.

INTERNET
Baharom Mohamad, Mohamad Johdi Salleh.  Kepimpinan Pendidikan Dalam Pembangunan Modal Insan diakses daripada http://www.ipbl.edu.my/bm/penyelidikan/1998/98_Muhd.pdf pada 27 Ogos 2012.
Berita Harian Online.  (16 Mei 2012).  Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin diakses daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guruberinovasiadalahguruberkualiti_Muhyiddin/Article pada 13 Ogos 2012.
Azmy Mohamed.  (5/12/201).  Rasional Pelaksanaan PBS diakses daripada  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm pada 27 Ogos 2012.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.  Khutbah Jumaat 19 Jamadilakhir 1433h (11 Mei 2012m) “Guru Penjana Inovatif Pendidikan” diakses daripada http://www.jheains.sabah.gov.my/downloads1/Khutbah-Jumaat/Tahun-2012/05-Mei/11-Mei-2012.pdf pada 27 Ogos 2012.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012).  Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2012.  http://www.moe.gov.my/userfiles/file/Pelan%20Strategik%20Interim%20KPM%202011-2020.pdf diakses pada 28 Ogos 2012.
Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia diakses daripada http://www.moe.gov.my/ pada 27 Ogos 2012.
Modul i-Think diakses daripada http://www.ipkent.edu.my/ipkent/images/ithink/ithink.pdf pada 26 Ogos 2012.
Ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan diakses daripada
Yusliza Mohd Yusoff.  Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat Berfikir diakses daripada

No comments:

Post a Comment